Pakatan Sulit Bersama Tun M? … Tommy Terlalu Bongkak Menulis Memoirnya – Syed Johan

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membuat satu laporan Polis terhadap apa yang telah dinyahsulitkan oleh pejabat Perdana Menteri melalui tulisan bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas dalam memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata semasa Tun Mahathir menjawat jawatan tersebut, beliau melakukan perkara yang bertentangan undang-undang dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

“Tommy secara bongkak dan ego telah menulis bahawa ada pakatan dan perbincangan sulit antara beliau dan juga bekas perdana menteri ketika itu Tun Mahathir dalam melantik ‘top post’ termasuk ketua hakim negara, ketua hakim sabah dan sarawak dan juga mahkamah rayuan.

“Malah beliau telah melanggar akta perlembagaan negara 122B iaitu setiap kali badan kehakiman tertinggi dilantik perlu menjalani proses untuk melantik hakim yang akan dipersembahkan kepada perdana menteri dan seterusnya ke Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong,” katanya kepada UMNO Online, semalam.

Sebelum ini pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy merumuskan bekas Peguam Negara itu mahu Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mahathir menurut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang di dalam soal pelantikan hakim utama negara.

Syed Mohd Johan Rizal yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah berharap agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat perkara ini dibawah akta 23.

“Kita percaya ada pakatan jahat yang berlaku antara Tun Dr Mahathir dan Tommy Thomas ketika itu, apabila Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memberi senarai yang dipersembahkan kepada perdana menteri itu telah bertukar” ujarnya.

Persoalannya adakah wujud imbuhan berkepentingan peribadi terhadap kedua-dua individu ini yang telah mencalarkan institusi kehakiman dan perundangan negara.– UMNO Online



Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit