Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran… Ibarat Semangat Mat Kilau Muncul Semula – Wan Rosdy

BERA, 27 Okt – Semangat yang ditonjolkan oleh para hadirin dalam Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat negeri Pahang ibarat memunculkan semula semangat pejuang Pahang iaitu Mat Kilau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, himpunan pada petang ini sangat penting kerana tidak lama lagi negara akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Perjumpaan pada petang ini sangat penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi proses pilihan raya dan pengundian. Adalah penting untuk kita memastikan UMNO/BN dapat mempertahankan Pahang pada lima tahun akan datang.

“Kita tahu keadaan semasa sekarang ini, UMNO/BN dihimpit oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Melihat semangat tuan-tuan dan puan-puan pada petang ini, semangat Mat Kilau ibarat muncul semula,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang turut menyatakan sasaran UMNO/BN Pahang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Insya-Allah dalam PRU yang akan datang ini, kita akan hentikan penguasaan pihak lawan di negeri ini dan akan memastikan UMNO/BN dapat 30 daripada 42 kerusi yang ditandingi. Ini janji kita.

“Selepas kalah PRU ke-14 kita lihat bagaimana Pahang tidak mendapat bantuan yang sewajarnya semasa PH memerintah. Tetapi atas semangat bersama dengan rakan-rakan, akhirnya kita dapat memberikan bantuan kepada rakyat secukupnya,” katanya lagi.

Wan Rosdy turut memuji sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan parti keramat itu meski pun ianya sering dilanda ribut dan badai.

“Pada hari ini kita seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Presiden kita kerana beliau tegas mempertahankan prinsip parti. Kita pernah dipaksa dan diminta oleh Perdana Menteri 22 bulan untuk membubarkan UMNO.

“Namun, Presiden kita mengambil keputusan untuk tidak sekali-kali membubarkan parti ini meskipun pada masa itu beliau tidak mempunyai jawatan.

“Alhamdulilah beliau dapat mempertahankan UMNO/BN serta mencipta kecemerlangan dalam parti ini. Meskipun pelbagai ribut Dan badai dilanda parti, beliau tetap menakhodainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menyatakan bahawasanya kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat pada PRU ke-14 lalu telah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Kita akan menghadapi pilihan raya kelak. Kalau kita tengok kepada semangat yang ditonjolkan, Insya-Allah kita akan dapat lebih daripada yang disasarkan. Selama lebih 54 bulan kita dapat mengurangkan hutang serta meningkatkan hasil Negeri Pahang. Ini menjadi bukti bahawa kerajaan yang tuan-tuan pilih telah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Oleh sebab kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh UMNO/BN berjaya mengurangkan hutang, menambah hasil negeri serta menarik pelaburan, maka pastikan rakyat di negeri Pahang mengundi UMNO/BN,” katanya lagi.

Katanya lagi, UMNO/BN Pahang akan memastikan bahawa tiada kerusi untuk PH dan PN di negeri tersebut sekaligus mempertahankan Pahang yang sememangnya menjadi milik parti itu.

“Kepada 22 bulan memang gagal dan merosakkan negara. Antara janji yang mereka tidak tunaikan ialah harga minyak, hutang PTPTN dan juga menghapuskan tol. Maknanya kerajaan tersebut gagal dan kita akan pastikan tiada kerusi untuk mereka di Pahang.

“Begitu juga dengan PN, pastikan lapan kerusi yang mereka ada sekarang ini hilang. Insya-Allah dengan kerja kuat dan sokongan yang berpanjangan, UMNO/BN akan dapat mempertahankan negeri Pahang ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.