Senarai Tidak Tepat, BN Johor Belum Muktamad Calon – Hasni

JOHOR BAHRU, 27 Okt – Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tular adalah ‘tidak tepat’, kata Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.

Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata BN belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding di 26 kerusi Parlimen di negeri itu.

“Esok ada lagi senarai (baharu),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu yang ketawa ketika ditanya mengenai senarai calon BN yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

“…untuk kita hendak mengenal pasti calon, ada beberapa proses yang sedang dilakukan oleh pucuk pimpinan dan kita masih belum membuat sebarang keputusan mengenai calon-calon ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut senarai calon BN Johor yang tular itu, beberapa nama penyandang tidak tersenarai seperti Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pontian dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) pula tersenarai dalam senarai yang tular itu.

Senarai tular itu juga mengandungi nama Hasni sebagai calon di kerusi Parlimen Simpang Renggam dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin calon di Kota Tinggi.

Ditanya sama ada ‘kemunculan’ senarai berkenaan dilihat boleh mengganggu gugat kesatuan UMNO dan parti-parti komponen, Hasni berkara perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya akan mendatangkan persoalan dan tanda tanya dalam kalangan ahli dan komponen parti dalam BN sendiri.

Hasni berkata pengumuman calon BN Johor dijangka dilakukan pada 3 Nov ini manakala pelancaran jentera BN diadakan sehari sebelum itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.