PRU15: UMNO/BN Perlu Bentuk Kerajaan Dominan Bawa Islam/Melayu Tonggak Negara
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menjadi tonggak utama pentadbiran negara bagi menjaga kemaslahatan agama, bangsa dan negara.
Katanya, kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu perlu dijadikan iktibar kerana meskipun dipimpin oleh Perdana Menteri beragama Islam namun hakikat sebenarnya tidak seperti yang digambarkan.
“Kita mahu UMNO/BN jadi tonggak semula serta dominan sebagai kerajaan yang kukuh dan gagah di negara untuk Islam/Melayu menjadi tulang belakang kepada negara ini.
“Selama 22 bulan Perdana Menteri orang Islam tetapi penguasaan pada kerajaan bukan lagi dipegang oleh orang Islam/Melayu selepas itu, saya secara peribadi mengusahakan supaya orang Melayu mengambil alih rupanya selama 17 bulan UMNO mahu diharamkan, saya tidak rela,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia: Himpunan Ahli Jemaah Perjuangan Bersama Pemimpin Negara yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden PEKIDA Malaysia, Datuk Mohd Foad Mat Isa serta kepimpinan lain.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata sejak memegang jawatan nombor satu dalam parti selepas PRU14, beliau telah menanamkan tekad bahawa sebelum menginjak ke PRU15, pemimpin dari UMNO/BN mesti diangkat menjadi Perdana Menteri.
“Mungkin dalam kalangan kita lupa apabila saya mengambil alih jawatan sebagai Presiden UMNO pada 2018 saya berazam ketika itu dalam Dewan Merdeka di bangunan keramat ini sebelum PRU15 saya mahu lihat pemimpin dari UMNO mesti jadi PM dan kita ambil alih semula kerajaan
“Ketika itu orang mencebik, hina… saya bukan warak tetapi saya dapat menelah perkara ini, kini kita akan hadapi PRU15. Allah telah menurunkan nikmat, 5 Nov penamaan calon manakala 19 Nov menentukan sama ada kita terus relevan di bumi kita ini sendiri atau tidak,” ujar beliau.
Sementara itu beliau berkata UMNO dan Pekida mempunyai nilai perjuangan yang sama iaitu memperkukuh penyatuan dalam kalangan Islam/Melayu dalam membawa sebuah masyarakat sejahtera.
“Pekida dan UMNO berpiasa tiada, perjuangan sama bangunkan semula penyatuan Islam/Melayu yang kita perjuangkan selama ini untuk membuktikan bahawa kita dominan semula, supaya agama bangsa dihormati bukan sahaja oleh rakyat pelbagai kaum dan agama bahkan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia yang tercinta ini.
“… untuk mencapainya saya pasti bukan hanya retorik, pidato, kata-kata semangat, apa yang katakan datang dari hati terpancar ikhlas saya yakin mesej ini harus sampai ke seluruh negara.
“Mereka yang telah tersasar ke jalanan politik dan pegangan mereka untuk kembali semula dengan kebijaksanaan dekati orang yang melakukan kesilapan itu dengan tertib, buat baik dengan mereka seperti mana Allah berbuat baik kepada kita,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib