PM Ingatkan Jentera BN Jangan Abai Lima Juta Pengundi Baharu, Tingkat Libat Urus

BERA, 27 Okt – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengabaikan kuasa mengundi hampir lima juta pemilih baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda, justeru libat urus bersama mereka tegasnya perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat menyokong BN.

Bercakap di hadapan kira-kira 6,000 penyokong BN, di sini, hari ini Naib Presiden UMNO itu menyifatkan kumpulan ini sebagai undi yang penting dan tanpa sokongan mereka, sukar untuk BN menguasai kerajaan semula.

“Sebab itu saya harap kita semua sama-sama bekerja kuat bukan sahaja untuk mendapatkan pengundi putih supaya terus kekal bersama kita, tetapi juga mendapatkan sokongan daripada mereka yang atas pagar dan tidak berparti supaya menyokong kita.

“Insya-Allah kalau mereka sokong kita, pengundi putih kita kekalkan untuk terus sokong kita, Insya-Allah DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita pertandingkan, Parlimen yang kita pertandingkan pasti akan dikuasai kita, BN,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.