PH Janji Kosong, Tidak Kotakan Janji TPM Dari Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 27 Okt – Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah memang dicadangkan dahulu oleh Pakatan Harapan (PH) tetapi mereka cuma membuat janji kosong dan tidak pernah ditunaikan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, BN Sabah akan memasukkan jawatan TPM dari Sabah ke dalam manifesto BN dan janji itu akan laksanakannya apabila BN menang secara dominan pada PRU kali ini.

“PH gagal tunaikan dan hanya janji kosong. Tapi dalam konteks Sabah ini, apa yang dikatakan akan dikotakan dan BN Sabah akan menyediakan bakal TPM yang lebih berwibawa dan lebih fokus kepada tugas sebagai TPM.

“BN Sabah akan ditunaikan dan urusan untuk pelantikan itu akan lebih dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Ketua Biro Polisi Dap Sabah, Chan Foong Hin yang mengatakan bahawa jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak itu adalah idea PH dan telahpun dibincangkan untuk manifesto mereka sebelum BN membuat pengumuman mengenai perkara ini.

Foong Hin dalam kenyataannya berkata, mereka sebenarnya bercadang untuk mendedahkan perkara itu ketika melancarkan manifesto PH tetapi kini terpaksa bercakap mengenainya, kerana Datuk Seri Zahid Hamidi menyebut tawaran sama ketika lawatannya ke Kimanis hujung minggu lalu.
Tambah Bung Moktar lagi, dengan adanya jawatan TPM dari Sabah adalah bagi menentukan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat Sabah.

“Kouta jawatan TPM dari Sabah ini juga adalah bagi memastikan kuasa diberikan kepada Sabah bagi menentukan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Sabah.

“Tidak ada gunanya ada TPM tapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Presiden UMNO merangkap Pengerudi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Bung Moktar memasukkan jawatan TPM dari Sabah dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.

Beliau turut mencadangkan supaya jawatan itu bukan saja mewakili pemimpin dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.