PH Bawa Perubahan Buruk… Bukan Itu Anak Muda Inginkan – Muhamad Syahmi

 

PADANG TERAP, 26 Okt – Perubahan yang dibawa oleh kerajaan pemerintah seusai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu bukanlah sesuatu yang sebenarnya dimahukan oleh rakyat kerana terdapat pelbagai kesan buruk dari segi politik, ekonomi dan kestabilan negara.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Padang Terap, Muhamad Syahmi Noordin berkata, anak muda antara golongan yang sangat terkesan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) apabila segala janji yang mereka taburkan gagal ditunaikan.

“Pada ketika itu, dijanjikan kepada anak-anak muda bahawa PTPTN dan tol akan dihapuskan. Macam Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata ‘hari ini kami menang, esok harga minyak akan turun’. Ini merupakan janji manis yang menyebabkan anak muda keliru dan memilih mereka.

“Tetapi apabila kita minta mereka (PH) untuk tunaikan janji tersebut, mereka katakan bahawa ‘manifesto bukan kitab suci’. Itukah pemimpin yang kita mahu sokong pada hari ini?” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Syahmi turut melahirkan rasa syukur apabila berlaku pergolakan politik dalaman di antara mereka, akhirnya UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali mengepalai pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.

“Nasib baik dan alhamdulilah kerana Allah takdirkan berlakunya pergolakan politik serta konflik dalaman kerajaan sebelum ini apabila Tun Mahathir meletakkan jawatannya, kemudian Tan Sri Muhyiddin dan naiklah Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri selepas tumbangnya Tun Mahathir dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila Perdana Menteri dan juga barisan kabinet datangnya daripada UMNO/BN, maka kita boleh membezakan bagaimana kerajaan sebelum ini memerintah dan bagaimana pula pemimpin kita memerintah. Namun sudah terbukti bahawa hanya UMNO/BN yang layak memegang tampuk kepimpinan negara,” katanya lagi.

Menurut Syahmi, dengan kekecewaan yang ditinggalkan oleh PH, anak muda mulai sedar dan sudah semestinya akan menolak janji palsu pihak pembangkang.

“Kali ini anak muda sudah sedar, kecewa dan tidak akan mempercayai janji-janji manis yang ditaburkan oleh pihak pembangkang. Cukuplah… Hanya UMNO/BN parti yang terbaik demi masa depan negara.

“Justeru, saya sebagai wakil anak-anak muda terutamanya di Padang Terap, kami menginginkan bukan hanya kerajaan ‘tempek’ seperti yang ada sekarang mahupun sebelum ini. Namun, kami mahukan UMNO/BN yang dominan serta boleh membuat keputusan sendiri.

“Susah sebenarnya untuk kerajaan menjalankan pentadbiran sekiranya terdapat parti lain dalam gabungan tersebut kerana mereka perlu untuk menjaga kepentingan parti lain dan sukar untuk mereka membuat keputusan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.