Bung Moktar Minta Jentera UMNO/BN Berjuang Habis-habisan Pastikan Kemenangan

KOTA KINABALU, 26 Okt – Jentera parti UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu berjuang berhabis-habisan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disifatkan sebagai pilihan raya antara ‘hidup dan mati’ untuk menentukan sama ada UMNO/BN dapat mengemudi negara semula ataupun sebaliknya.

Sehubungan itu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap jentera parti UMNO/BN di semua peringkat perlu melihat PRU15 kali ini sebagai sesuatu yang serius dan berjuang semaksimum mungkin bagi memastikan kemenangan semua calon BN/GRS di kawasan masing-masing.

“Pilihan raya kali ini adalah penentu kepada ‘hidup dan mati kita’. Sewaktu kita kalah pada PRU ke-14 tidak ada dalam kalangan kita yang memikirkan bahawasanya UMNO/BN boleh bangkit semula.

“Di Sabah ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tahun 2019 semasa UMNO/BN berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tidak siapa menduga kita mampu berhadapan dengan parti Warisan yang ketika itu menjadi parti pemerintah, namun dengan semangat juang kita yang tinggi dan Allah SWT lorongkan satu peluang maka kita berjaya membuktikan UMNO/BN belum terkubur di negeri ini dan semangat itu perlu kita bawa serta perhebatkan semasa menghadapi PRU ke-15 ini,” jelasnya.

Bung berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri di Pejabat Perhubungan UMNO Sabah di sini, Selasa.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Pengarah Pilihan Raya BN Sabah Datuk Seri Salleh Said, Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Jainab Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Sabah Datuk Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Puteri UMNO Sabah Datuk Dr. Fadilah Sabri.

Menurut Bung sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri tahu peranan mereka masing-masing justeru tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan sepenuhnya di kawasan masing-masing agar peluang keemasan ini tidak terlepas di pihak pembangkang.

“Wanita dengan Jalinan Rakyatnya (JR), Pemuda bersama gerak gempur dan mendekati pengundi muda begitu juga Puteri dengan infromasi Maklumat (IT) khususnya memainkan peranan mengawal media sosial, jika komponen ini dapat digerakkan sepenuhnya sudah tentu usaha mendekati pengundi lebih berkesan,” jelas Bung.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perlu ditekankan semasa berkempen politik UMNO/BN adalah politik khidmat yang tidak pernah meninggalkan rakyat bukannya seperti politik pembangkang dengan politik fitnah, menghasut rakyat dan menaburkan janji-janji manis.

Bung menambah dalam PRU15 kali ini jalinan kerjasama antara BN/GRS sudah pun dipersetujui dan perjanjian secara bertulis akan dimeteraikan dalam tempoh terdekat.

“Justeru semua pihak sama ada dari BN atau GRS perlu menghormati perjanjian dan kerjasama yang telah dipersetujui tanpa sebarang unsur sabotaj semasa PRU kali ini.

“Saya memahami perasaan ahli-ahli UMNO, ada sebahagian kawasan terpaksa kita lepaskan kerana menghormati jalinan kerjasama ini, yang penting bagi kita jalinan kerja sama BN/GRS ini mampu menyumbangkan kemenangan besar bagi BN menerajui Putrajaya.

“Kerana itu ianya menuntut pengorbanan dari semua pihak bagi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri serta rakyat terus terpelihara,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.