PRU15: Calon BN Perlu Jalani Tapisan Termasuk Dengan Jabatan Agama – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu menjalani tapisan termasuk dengan jabatan agama sebelum dibenarkan bertanding, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata saringan dengan jabatan agama yang julung kali diadakan itu bagi memastikan pemilihan calon BN lebih teliti dan mereka tidak terlibat dengan pelbagai isu syariah termasuk pemberian nafkah.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata pemilihan calon masih dalam proses dan pembentangan “pusingan pertama” telah dibuat oleh pengerusi perhubungan negeri sebelum dibuat kali kedua dalam perjumpaan sekali lagi.

“Kita juga akan ada saringan. Kena buat pemeriksaan antara nama-nama yang dicadangkan itu.

“Kita akan menyemak dengan polis, SPRM (Suruhanyaja Pencegahan Rasuah Malaysia), Jabatan Insolvensi, mungkin kali ini dengan pejabat agama, pejabat kadi pun kita kena semak juga kot ada yang kahwin kat Siam ke.

“Ada yang nafkah anak tak bayar ke, ada penghakiman di Mahkamah Syariah ke, kalau dulu kita tak pernah periksa, kali ini kita lebih terperinci,” kata beliau kepada media selepas menghadiri taklimat khas sempena PRU15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.