PRU15: Biar Tambun Jadi Sejarah Anwar Hilang Pengaruh – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada sebarang jasa di Tambun dan beliau bukanlah aset penting yang perlu diberikan kemenangan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini adalah kesempatan terbaik untuk orang Perak khususnya di Tambun bagi menamatkan hayat politik Anwar.

“Anwar Ibrahim tiada jasa di Tambun, Perak dan beliau bukan aset penting yang mesti diberikan kemenangan.

“Malah ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim. Jadi biar Tambun menjadi sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu turut mengingatkan bahawa PPBM juga perlu dikalahkan serta yakin pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon UMNO/BN.

“Mengalahkan Anwar Ibrahim bukan bermakna kita bagi kemenangan kepada PPBM kerana mereka juga mesti dikalahkan.

“Kita yakin pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon UMNO/BN. Saya yakin kehadiran Anwar Ibrahim akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera UMNO/BN Tambun dan Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya lagi.

Menurutnya, tindakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sering bertukar kawasan bertanding setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) adalah disebabkan mereka tidak bekerja untuk rakyat di kawasan sebelumnya.

“Saya harap kita sedar. Pimpinan PH termasuk Anwar Ibrahim sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana semasa mereka menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“… sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul turut mengajak rakyat untuk memilih UMNO/BN serta menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dua figura ini telah merugikan negara sejak sekian lama.

“Pilihan yang terbaik ialah UMNO/BN. Sudah semestinya parti ini mampu untuk mentadbir negara dengan track record yang sedia ada untuk membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

“Kita mesti jadikan PRU ke-15 sebagai medan untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU ke-15 sekaligus mengesahkan khabar angin mengatakan beliau bakal meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandang sebelum ini.

Untuk rekod, Anwar menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak PRU ke-6 sehingga PRU ke-13 sebelum berpindah ke Parlimen Port Dickson pada tahun 2018. Kini, beliau telah membuat keputusan untuk mencuba nasib di Tambun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.