Pihak Lawan Tidak Sepakat… Satu Gabungan, Logo Berlainan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Tindakan parti gabungan lain masih berkira-kira tentang logo yang mahu digunakan menjadi bukti bahawa mereka sanggup ‘tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi ‘mimpi adalah lain-lain’.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini merupakan anasir ‘senyap’ yang membawa kepada pembentukan kerajaan tidak stabil dan caca marba serta ‘memangsakan’ rakyat.

“Parti komponen gabungan lain masih berkira-kira tentang logo akan digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Dap tidak mahu menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) di kawasan tertentu sebaliknya mahu menggunakan logo roket.

“Pemimpin Pas mahu gunakan logo bulan di negeri dikuasainya walau telah ‘mengikrarkan kesetiaan’ kepada Perikatan Nasional (PN). Tentu ramai masih ingat PKR walaupun parti komponen PH menggunakan logo sendiri dalam PRN sebelum ini.

“Jelas memberi mesej mereka ini sanggup ‘tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi ‘mimpi adalah lain-lain’. Inilah antara anasir ‘senyap’ yang membawa kepada pembentukan kerajaan tidak stabil dan caca marba,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut berpendapat bahawa tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka meskipun pada perkara yang paling asas.

 

“Tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka walaupun pada perkara yang asas iaitu penggunaan logo. Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara.

“Bagi BN logo dacing berwarna putih dan berlatarbelakangkan warna nila kandi lambang gabungan ini sejak dulu hingga kini. Lambang sebuah kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung di bawahnya.

“Neraca perikatan dan kesepakatan bergandingan bahu membawa kestabilan dan kemakmuran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar rakyat dapat menilai perbezaan yang berlaku dalam menentukan kerajaan pilihan mereka.

“Rakyat wajar menilai perbezaan ini dalam membuat penentuan yang amat penting kepada Malaysia pada PRU ke-15. Yakini BN satu-satunya gabungan politik menawarkan sebuah kemuafakatan serta perpaduan yang jujur dan ikhlas,

“Dunia telah diramalkan bakal berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun depan. Negara kita perlu berada dalam posisi paling kukuh dan stabil untuk mendepaninya,” katanya lagi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.