Perak Kubu Kuat UMNO/BN… Mana-Mana Parti Nak Cuba, Silakan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 22 Okt – Perak ialah kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN) namun sekiranya mana-mana parti berminat untuk mencuba nasib, maka kita mengalu-alukan percubaan tersebut, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menjawab soalan pemberita mengenai keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan Tambun, beliau berpendapat bahawa mana-mana calon bebas untuk menaruh nasib.

“Sebagai sebuah negara demokrasi tentu mana-mana calon yang ingin bertanding, bebas untuk bertanding. Biarpun dia ahli biasa atau presiden sesebuah parti politik.

“…dan Perak adalah kubu kuat UMNO/BN. Namun sekiranya ada mana-mana parti mahu mencuba, kita alu-alukan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN turut mendedahkan calon cadangan kawasan tersebut bagi UMNO/BN serta menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilih Calon untuk menentukan tempat calon tertentu.

“Calon Tambun yang dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri ialah Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin yang juga Setiausaha Perhubungan Negeri.

“Saya tidak pernah dinafikan sebagai calon. Kalau isu meletakkan (kawasan bertanding) untuk Khairy Jamaluddin dan Tajuddin Rahman, kita serahkan kepada Jawatankuasa Pemilih Calon,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.