Ahmad Said Yakin Terengganu Akan Kembali Ke Pangkuan UMNO/BN
HULU TERENGGANU, 22 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said yakin bahawa negeri ini akan kembali ke pangkuan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan tiba tidak lama lagi.
Jelasnya, untuk mencapai misi tersebut maka seluruh jentera dan kepimpinan perlu untuk membulatkan tekad serta bersatu hati bagi membenamkan musuh.
“Terengganu mesti kita tawan. Kedatangan Presiden UMNO dan Perdana Menteri membuktikan betapa seriusnya kita berjuang untuk menawan kembali negeri ini.
“Insya-Allah, PRU akan datang nanti, Terengganu akan kembali kepada UMNO/BN. Kita sudah tiada masa. Kita mesti hadap peperangan ini dengan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
“Bulatkan azam dan tekad. Kita perlu tentang musuh habis-habisan. Kita mesti berganding bahu, pastikan 19 November malam ini UMNO/BN kembali ke Putrajaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran di sini, semalam.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi BN Terengganu turut berkata, UMNO/BN perlu untuk menawan semula Terengganu kerana negeri ini merupakan hak parti.
“Sebab itulah kita pasti dengan kehendak Allah, Parlimen Terengganu mampu kita tawan semula kerana negeri ini hak kita.
“Kita bukan kalah, tetapi kita kehilangan negeri ini disebabkan pengkhianatan yang berlaku. Dahulu kitalah yang bekerja siang dan malam untuk menangkan mereka, tetapi mereka meninggalkan perjuangan.
“Insya-Allah, pada 19 November nanti kita akan saksikan kekalahan mereka yang khianat kepada parti dan kepercayaan rakyat ini,” katanya lagi.
Ahmad Said turut mengingatkan para hadirin untuk melupakan peristiwa hitam yang berlaku pada PRU ke-14 serta memberikan fokus utama kepada musuh parti.
“Pastikan kita dapat menawan kembali Putrajaya. Lupakanlah peristiwa 2018 yang lalu. Musuh kita bukan antara kita tetapi di hadapan kita.
“Di hadapan kita ada Pas, ada PPBM kalau di Terengganu. Di depan duri, di belakang api. Depan tajam, belakang terbakar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan para jentera dan seluruh akar umbi untuk memberikan komitmen kepada parti.
“Apa yang penting, komitmen anda semua merupakan hadiah yang paling besar kepada parti dan para pimpinan.
“Percayalah, kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh, kemenangan sudah ada dalam diri kita. Negeri ini akan kita tawan. Insya-Allah UMNO/BN akan memerintah lagi,” katanya lagi.
Himpunan Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran Negeri Terengganu menghimpunkan lebih 7,000 penyokong akar umbi terdiri dari para jentera menunjukkan bahawa kuasa UMNO/BN di negeri itu masih utuh dan akan diperkukuhkan. – UMNO Online