PRU15: Logo BN Jenama Amat Dekat Di Hati Pengundi, Gerak Kerja Semua Peringkat

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat malam tadi mencapai ketetapan iaitu penggunaan logo BN oleh semua parti komponen, parti-parti bergabung dan calon-calon melalui keahlian secara langsung sebagai jenama yang amat dekat di hati pengundi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan selepas mesyuarat terbabit malam tadi memaklumkan mesyuarat juga bersetuju dengan pengarahan gerak kerja kepada pengerusi-pengerusi BN negeri, untuk dilaksanakan di semua peringkat jentera parti bagi memastikan operasi parti pada PRU Ke-15 berjalan dengan lancar dan sokongan rakyat dapat ditingkatkan kepada BN.

“BN dengan empat parti teras UMNO, MCA, MIC dan PBRS menerima komitmen enam parti bergabung Makkal Sakti, IPF, KIMMA, MIUP, PCM dan Parti Punjabi Malaysia serta pertubuhan gabungan BN yang mewakili pelbagai segmen masyarakat di seluruh negara, untuk bersama-sama menggerakkan jentera masing-masing bagi memastikan kejayaan calon-calon BN yang bertanding.

“Mesyuarat juga dimaklumkan tentang tema ‘Kestabilan & Kemakmuran’ sebagai teras kempen sepanjang pilihan raya ini,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini diadakan di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn sebagai persediaan bagi menghadapi PRU ke-15 yang akan diadakan pada 19 November 2022.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai Hari Pengundian bagi PRU15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November sementara pengundian awal adalah pada 15 November. Dengan penetapan tarikh tersebut, sebanyak 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen dalam PRU ini. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/10/KM-201022.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.