Konon Bawa Politik Nafas Baru, Akmal Nasir Ambil Kesempatan Manipulasi Isu Setempat

JOHOR BAHRU, 21 Okt – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar membidas ahli Parlimen kawasan tersebut yang sengaja bermain politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Akmal Nasir juga bersikap melulu dan membuat tuduhan tidak berasas membabitkan isu perobohan beberapa buah rumah setinggan di Kampung Bakar Batu.

“Sebagai seorang bekas Ahli Parlimen yang kononnya membawa politik nafas baru, adalah lebih baik jika beliau memuat naik isu ini selepas selesai mengenal pasti hujung pangkal ceritanya bagi mengelakkan kekeliruan dan tanggapan yang salah di mata rakyat.

“… untuk pengetahuan Akmal Nasir, tindakan perobohan rumah setinggan ini hanya melibatkan rumah kosong dan rumah yang dihuni oleh bukan warganegara, malah untuk meminta semua rumah yang masih didiami oleh penduduk bukan warganegara dikosongkan juga telah dikeluarkan lebih awal dan telah pun tamat pada 17 September 2022.

“Wakil Bayou Bay Development Ahmad serta Ketua Kampung JPKK Bakar Batu JB, Zulkifli Md Ali juga sudahpun masuk ke tapak memberikan penjelasan kepada penduduk di kawasan terlibat.

“Pihak Imigresen turut bersama membuat semakan dan mendapati semua penduduk bukan warganegara yang masih belum mengosongkan rumah memiliki dokumen perjalanan yang sah maka tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak imigresen dan hanya meminta mereka kosongkan rumah yang mereka diami secara haram,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Yahya memaklumkan sebanyak 30 unit rumah setinggan tersebut telah dirobohkan dalam operasi pada kelmarin dan masih berbaki 10 rumah setinggan yang telah dipotong bekalan utiliti tidak dirobohkan atas faktor keselamatan jentera berikutan air pasang.

Menurut beliau, pemilik tanah juga telah bersetuju rumah yang seterusnya akan dikosongkan pada fasa seterusnya yang melibatkan rumah warganegara setelah proses penawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya faham Akmal Nasir mungkin mahu menawan hati rakyat lebih-lebih lagi pada musim pilihanraya ini, namun seakan-akan memakan diri apabila bekas Ahli Parlimen Johor Bahru sendiri tidak cakna akan isu rumah setinggan di Johor Bahru.

“Jadi, cukup-cukuplah mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu yang tidak berasas, semata-mata untuk raih simpati dan populariti… rakyat bijak untuk menilai, saudara Akmal Nasir,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.