Sedia Gempur Parlimen Untuk PRU15, Tekad Bersama BN Demi Kestabilan Dan Kemakmuran

BANDAR BAHARU, 20 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor bertekad untuk bersama-sama jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam menggerakkan misi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Katanya, biarpun DUN Kedah tidak dibubarkan namun ia tidak membataskan pergerakan jentera parti dalam memastikan tekad memenangi kerusi Parlimen di Kedah.

“Semalam kita dah dengar tekad dan misi Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 10 daripda 15 kerusi Parlimen di Kedah.

“Keyakinan daripada kepimpinan tertinggi parti ini adalah suntikan semangat kepada kami warga Kedah bagi mengembalikan kestabilan dan kemakmuran dalam negara,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, suasana kali ini berbeza dengan 2018 ketika PRU14 dilaksana apatah lagi kesiapsiaagaan UMNO/BN kali ini dilihat lebih ampuh termasuk penglibatan dalam media sosial.

“Bak kata Presiden, kita tahu pada PRU14 telah berlaku tsunami politik apabila BN hanya menang dua kerusi Parlimen iaitu Parlimen Baling dan Parlimen Padang Terap selain hanya dua kerusi DUN iaitu di Bandar Baharu dan DUN Sungai Tiang.

“Tapi landskap itu telah berubah kini maka tidak mustahil untuk kita kekalkan dua kerusi Parlimen yang sekarang kita miliki selain peroleh lapan lagi kerusi Parlimen yang lain sebagaimana sasaran.

“Atas semangat yang telah ditanamkan, dengan gerak kerja akar umbi dan sokongan dari pengundi maka saya yakin bahawa hal terbabit bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.

Apatah lagi kata beliau, pelbagai janji-janji menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu gagal ditunaikan.

“Ini adalah peluang kepada rakyat untuk membawa suara di Parlimen dan menolak janji-janji palsu, janji bulan bintang dan macam-macam kata-kata manis yang tidak nyata.

“BN adalah sebaliknya malah Bajet 2023 tentunya akan menjadi realiti sekiranya BN menjadi kerajaan Persekutuan malah tentunya kestabilan dan kemakmuran yang jadi tawaran akan dapat dicapai,” tambahnya.

Semalam, Ahmad Zahid menghadiri Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran yang diadakan di Dataran Seri Serdang di sini, yang disertai kepimpinan BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.