Pilih BN, Perubahan Angin Sokongan Di Terengganu Kian Memuncak – Ahmad Said

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yakin dan percaya angin serta ‘mood’ perubahan rakyat negeri itu berada pada tahap yang cukup tinggi untuk membuat perubahan kelak.

Kata beliau ini berdasarkan reaksi serta maklum balas penduduk, malah di kalangan penyokong ataupun ‘hardcore’ Pas sendiri dikatakan tidak selesa dengan kepimpinan kerajaan negeri hari ini dalam mengurus tadbir negeri berkenaan.

“Kita mampu kembali memerintah Terengganu dan saya sendiri tidak pernah bertemu dengan soal ini… malah ini adalah kali pertama… orang Pas sendiri marah kepada Pas. Dulu kita cakap apa sekalipun mereka tidak akan percaya tetapi hari ini dah ramai.

“Macam baru-baru ini saya beritahu ada lebih kurang 300 ahli Pas Kemaman akan masuk UMNO dan MB cabar saya tunjukkan bukti. Alhamdulillah masa pelancaran jentera BN Kemaman, ada 600 borang diserahkan termasuk 100 orang daripada PPBM. Sebelum PKP saya telah berjaya tubuhkan satu cawangan di Marang sendiri di Alor Limbat yang mana 80 peratus ahli cawangan berkenaan terdiri daripada bekas-bekas penyokong Pas.

“Mingggu lepas saya pergi ke Sura, ada lebih kurang 300 orang ahli Pas menyerahkan borang termasuk 40 orang ahli PPBM… PPBM dibubarkan di salah satu cawangan di Sura dan banyak lagi cawangan termasuk di Kemaman, yang ada ‘hardcore’ Pas secara terbuka menyokong BN. Tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul Majid.

Ahmad seterusnya menjelaskan langkah Pas tidak membubarkan kerajaan negeri Terengganu memperlihatkan mereka tidak yakin untuk mendapat sokongan pengundi sekaligus kembali memerintah negeri berkenaan.

“Saya lihat bahawa Pas tidak yakin mereka boleh memerintah kembali… sebab itu mereka tidak bubarkan dengan harapan bajet yang akan datang seperti mana yang disebut MB sebelum ini, bajet yang tidak pernah dibentangkan oleh kerajaan negeri selama ini… apa maksudnya?

“Kalau selama ini mereka tidak berikan dana raya dan sebagainya tetapi apabila kita desak akhirnya mereka bagi… tahun ini mereka beri, mula-mula diluluskan RM20 juta, kemudian tambah lagi RM36 juta jadi RM56 juta.

“Masa BN perintah 2018, kita belanjakan RM80 juta untuk dana raya sahaja. Pada ketika itu mereka gambarkan ini seolah-olah UMNO membazir… RM80 juta habis begitu sahaja. Sebab itu saya tanya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)… dana raya bermakna untuk belanja raya. One off… ikut rakyatlah nak beli apa… pakain ke apa sebab kita nak bantu rakyat meringankan beban semasa menyambut perayaan,” katanya.

Beliau seterusnya menjangkakan kerajaan negeri akan menggula-gulakan rakyat dengan pembentangan bajet nanti .

“Sebab itu saya jangkakan Pas akan gunakan bajet ini secara besar-besaran untuk semua golongan… bajet pilihan raya untuk gula-gulakan rakyat… apa yang mereka tidak buat dahulu. Namun apakah rakyat masih percaya… sepertimana pepatah ‘panas setahun hujan sehari’,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.