Pemuda BN Kempen Secara Matang, Tolak Budaya Hasut, Timbulkan Kebencian- Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan serta fokus ke arah politik matang dan menolak sebarang budaya kempen politik kebencian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan berlangsung November ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata untuk itu mereka akan menjelajah ke seluruh negara dalam usaha menerangkan dasar serta polisi-polisi BN yang yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Kita akan adakan jelajah Pemuda BN demi kestabilan dan kemakmuran yang akan diadakan di semua negeri dan akan membabitkan Ketua-Ketua Pemuda parti komponen di atas pentas untuk kita menjelaskan polisi serta dasar BN.

“Jelajah ini akan menampilkan pemimpin pemuda daripada BN untuk mereka menyuarakan aspirasi anak muda apakah Malaysia yang mereka inginkan dan aspirasikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemuda BN, di sini, hari ini.

Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah kempen pada kali ini tentunya akan lebih tertumpu kepada persoalan apakah yang boleh ditawarkan untuk rakyat dan bukannya menimbulkan sentimen kebencian.

“Sepertimana saya katakan, kempen kita akan lebih banyak kepada kempen untuk kita terangkan apa yang kita boleh tawarkan untuk rakyat berbanding kempen menghasut, memfitnah… jika tidak habis negara kita ini kalau kita terus dengan sentimen membenci, sentimen mahu memfitnah.

“Kalau inilah yang diutamakan kita akan hadapi maslaah yang sama sepertimana apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah. Tiba-tiba menang kerana banyak sangat fitnah serta kebencian yang ditanam… contohnya hutang negara RM1 trilion, negara nak bankrap… jadi itu yang menakut-nakutkan pelabur.

“Jadi kenapa kita harus mahu meneruskan tradisi yang tidak sihat. Jadi peringkat Pemuda BN kita bertekad untuk memulakan budaya politik matang dan berakhlak dalam kempen PRU nanti,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November.Dengan penetapan tarikh tersebut, sebanyak 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen dalam PRU ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan pengundian awal adalah pada 15 November.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.