BN Tentang Politik Provokasi, Kecam Tindakan Pihak Tidak Bertanggungjawab – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimbah cat pintu dan tembok hadapan kediaman rasmi Menteri Besar negeri berkenenan

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan perkara terbabit, beliau menegaskan pihaknya menentang sekeras-kerasnya politik provokasi yang cuba dimainkan oleh pihak lawan.

“Saya begitu kecewa apabila mendapat tahu pintu dan tembok hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah disimbah cat seperti mana yang dilaporkan berita. Saya bersama-sama pemimpin lain dan ahli BN Kedah mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini dan menentang sekeras-kerasnya politik provokasi yang cuba dimainkan oleh pihak lawan.

“Saya percaya budaya provokasi ini adalah budaya tidak matang dan perlu segera ditangani sebelum membarah dalam landskap politik tanah air. Siapa pun pelakunya dan siapa yang menjadi dalang di sebalik insiden tidak bermaruah ini harus segera dikenakan tindakan kerana jelas sekali ini adalah perbuatan khianat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Soal beliau mengapakah perkara berkenaan boleh berlaku dan sepanjang pengetahuannya, perkara tersebut tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Persoalannya mengapa perkara ini boleh berlaku? Saya perhatikan dalam sejarah, tidak pernah berlaku kebencian sehingga ke tahap ini kepada mana-mana Menteri Besar Kedah. Sejak zaman BN memegang tampuk kepimpinan Kedah, sehingga PH memegang sementara negeri Kedah insiden seperti ini tidak pernah berlaku.

“Saya begitu terkejut melihat kediaman rasmi MB menjadi sasaran seolah-olah Ah Long yang begitu marah ingin mengugut penghutang. Sedangkan semua sedia maklum, kediaman MB mempunyai kawalan keselamatan yang lengkap dengan polis pengawal dan CCTV.

“Apakah mesej yang cuba dihantar daripada insiden yang berlaku ini? Adakah rakyat Kedah sudah cukup meluat dengan pentadbiran Sanusi? Adakah simbahan cat ini adalah permulaan kepada protes di atas kertas undi bagi menolak pentabdiran MB dan kerajaan Pas? Adakah masalah besar yang dibawa oleh pentadbiran Pas di negeri Kedah sehingga kediaman rasmi MB dijadikan sasaran melempias marah,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, apapun sebabnya, pihaknya berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana demi pembangunan negara yang lebih mapan, bukan ini budaya politik yang perlu dimainkan.

“Mengertak pemimpin politik ini adalah budaya samseng yang tidak membawa contoh teladan yang baik kepada rakyat. Saya memohon tindakan tegas daripada pihak berkuasa bagi menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

“BN akan terus membudayakan politik bertamadun sebagai asas perjuangan politik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik. Saya yakin BN melalui pemimpin peringkat akar umbi dan ahli BN di segenap peringkat akan sentiasa memastikan kematangan dalam berpolitik,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.