Wanita UMNO Terus Bergerak, Lipatgandakan Usaha Depani PRU15 – Norshida

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Biarpun tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti-parti politik di negara ini sudah mula menggerakkan jentera masing-masing di seluruh negara sebagai persiapan awal untuk berdepan PRU tersebut.

Tidak ketinggalan di Parlimen Segamat apabila Ketua Wanita UMNO bahagian berkenaan yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim mula merangka bersama jentera setempat bagi menghadapi PRU15 nanti.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau melihat PRU ini amat penting dan inilah masanya untuk melipatgandakan lagi gerak kerja yang telah dilaksanakan sekian lama dengan memberi tumpuan kepada beberapa perkara bagi melicinkan usaha sepanjang tempoh berkempen nanti.

“Warna biru, pilihan dari dulu, kini dan selamanya. Wanita bersiap siaga, mengatur program, merancang strategik serta mengerakkan jentera. Kerja berpasukan, kecekapan, kepantasan adalah kunci kepada kemenangan, insya-Allah.

“Alhamdulillah, Allah pinjam kesihatan yang baik. Kami dapat bersama-sama berkumpul di kediaman Kak Salmi Harun dan Mak Hajah Azizah di Jementah. Semoga kami semua diberi keizinan masa, berganding bahu, dan bekerjasama demi kebaikan semua. Kepada Allah berserah,” katanya.

Kata beliau lagi Wanita seluruh negara masing-masing sudah faham dan tentunya akan melipatgandakan segala gerakan yang telah dilaksanakan serta dirancang selama ini dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan kelak.

“Kita semua satu pasukan… kita semua ke arah satu tujuan… kita semua ke arah membantu parti mencapai kemenangan. Insya-Allah kita akan terus berusaha sebaik mungkin dan inilah masanya untuk masing-masing bergerak ke setiap pelusuk kawasan melaksanakan apa yang dirancang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.