UMNO/BN Tawar Politik Khidmat Bakti… Kebajikan Rakyat Jadi Teras Utama

PADANG TERAP, 19 Okt – Politik khidmat bakti yang ditonjolkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun sudah membuktikan bahawa parti ini meletakkan kebajikan rakyat sebagai teras utama mereka dalam mentadbir negara.

Seorang usahawan di daerah ini, Hasnora Abu Hassan, 44, berpendapat UMNO/BN perlu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang kerana hanya parti ini yang cakna dengan masalah rakyat.

“Bagi saya, UMNO/BN perlu menang kerana mereka sangat banyak membantu rakyat. Contohnya seperti saya yang merupakan seorang usahawan yang menjual bahulu, UMNO/BN bantu saya daripada oven kecil sehinggalah oven besar.

“Memang banyak bantuan yang mereka hulurkan kepada rakyat dan yang paling penting, bukan bantuan RM30 setahun macam kerajaan Pakatan Harapan (PH). Alhamdulilah rakyat dapat meneruskan kehidupan dengan bantuan yang diberikan,” katanya kepada UMNO Online.

Apabila ditanya mengenai janji ‘kitar semula’ PH, Hasnora berkata, tidak mungkin rakyat akan mempercayainya semula kerana mereka gagal untuk mentadbir meskipun telah diberikan peluang.

“Tak mungkin rakyat akan mempercayai mereka (PH) semula. Janjilah macam mana pun, mereka tidak akan dapat menguasai semula pemerintahan negara.

“Saya telah bersama UMNO/BN selama 16 tahun dan selamanya akan kekal bersama mereka. Hanya mereka yang mampu untuk memahami masalah serta membantu rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasnora turut berharap agar rakyat memberikan kepercayaan semula kepada UMNO/BN untuk mentadbir negara dalam membentuk Malaysia yang harmoni dan stabil.

“Kepada semua para pengundi, berikanlah kepercayaan kepada UMNO/BN kerana hanya parti ini yang cakna kepada rakyat dan faham segala keluh-kesah rakyat.

“Jangan ulangi kesilapan yang sama seperti PRU ke-14 lalu. Jangan rugikan negara dan kebajikan kita sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk di daerah ini, Ammar Salimi Abdul Kadir, 32, berkata, parti yang mempunyai pengalaman serta track record yang baik amat diperlukan bagi menstabilkan semula negara dari segi politik dan keharmonian kaum.

“Kita mahukan satu parti yang dominan dan diterajui oleh orang yang berpengalaman bagi menstabilkan politik, ekonomi dan keharmonian antara kaum.

“Sebelum ini, semasa kerajaan PH memerintah, semua aspek dari segi kestabilan politik dan ekonomi serta keharmonian antara kaum banyak yang terjejas, diganggu gugat. Ini menunjukkan mereka gagal untuk mengurus tadbir dengan baik.

Ammar turut berpesan kepada para pengundi supaya membuat pilihan yang tepat dalam menentukan kerajaan pada PRU ke-15.

“Kepada para pengundi di luar sana, untuk pilihan raya yang akan datang ini buatlah pilihan tepat dalam menentukan kerajaan yang bakal mengemudi negara.

“Bajet 2023 telah pun diumumkan dan kita tengok bajet ini memberi banyak manfaat kepada rakyat. Sama-samalah kita memilih yang terbaik, undilah UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.