UMNO/BN Konsisten Khidmat Bakti, Tidak Pernah Gagal Bantu Rakyat – Aziz Julkarnain

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Banjir tetap akan berlaku cuma tidak tahu bila namun pakar Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memaklumkan bahawa musim banjir akan berlaku pada hujung bulan November dan Disember.

Selaras dengan itu, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain membidas pihak lawan yang sering melaungkan isu banjir dan meremehkan UMNO/Barisan Nasional (BN) terutamanya pembubaran Parlimen minggu lalu.

“Sekiranya banjir semasa pilihan raya sekali pun, pemimpin UMNO/BN, akar umbi, Pemuda UMNO konsisten berkhidmat kepada rakyat. Kita tidak pernah gagal mana-mana tahun apabila ada banjir melanda di negara ini dan BN yang akan turun ke bawah membantu rakyat terutamanya mangsa-mangsa tersebut.

“Kita tidak boleh buat solusi untuk menangguhkan pilihan raya selepas banjir dan itu adalah tidak betul. Lebih baik buat pembubaran dan pilihan raya sebelum banjir.

“Pembubaran harus dilakukan segera kerana rakyat bergelut dengan ekonomi yang tidak menentu maka ianya harus dibangunkan semula. BN mahu mengembalikan keyakinan pelabur asing kerana sebelum ini ramai pelabur asing lari semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kota Kinabalu berkata sememangnya rakyat menunggu pembubaran tersebut dan yakin hanya BN yang mampu mengembalikan kestabilan dan kemakmuran.

“Pembangkang takut berhadapan pilihan raya dan mereka sudah tahu jawapannya hanya parti BN pasti akan kembali untuk mencapai kestabilan dan kemakmuran demi negara.

“Parti-parti pembangkang tidak mempunyai kesatuan seperti pada pilihan raya lalu dimana mereka kuat dan bersatu tetapi kali ini tidak bersedia menghadapinya,” jelasnya.

Terdahulu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat keputusan untuk menjadikan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.