PH Merosakkan Negara… Pendakwaan Terpilih Jadi Alat Balas Dendam

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 telah membawa pelbagai kerosakan kepada negara.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, antara kerosakan yang dilakukan oleh PH ialah pendakwaan terpilih termasuklah ke atas Ketua Bahagian UMNO kawasan tersebut sendiri iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Pelbagai perkara telah dibangkitkan dalam persidangan Bahagian kali ini antaranya ‘Masihkah Kau Ingat’, iaitu tentang apa yang telah berlaku selepas PRU ke-14, bagaimana PH melakukan kerosakan setelah mereka menang.

“Mereka juga telah membuat pendakwaan terpilih terhadap pemimpin-pemimpin UMNO sebagai contoh, Ketua UMNO Bahagian Putrajaya sendiri yang telah didakwa atas pertuduhan rasuah. Alhamdulilah atas kuasa Allah, beliau telah pun dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya pada Ahad.

Menurut Ahmad Faisal, perkhidmatan secara konsisten yang telah diberikan Tengku Adnan merupakan sebab utama UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan di parlimen ini.

“Walaupun pada PRU ke-14 UMNO/BN menang di Putrajaya dan kita kalah di peringkat Persekutuan yang bermakna menjadi pembangkang namun Tengku Adnan tetap meneruskan khidmat beliau sebagai Ahli Parlimen meskipun peruntukan pembangkang pada ketika itu dipotong.

“Beliau tetap berkhidmat untuk membantu warga Putrajaya. Contohnya semasa COVID, banyak bantuan telah diberikan kepada warga Putrajaya tidak mengira sama ada mereka adalah pengundi ataupun tidak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pengundi khususnya di Putrajaya untuk mengekalkan UMNO/BN berdasarkan ‘track record’ perkhidmatan mereka sejak penubuhan Putrajaya.

“Saya menyeru semua pengundi di Putrajaya, kekalkanlah UMNO/BN kerana kita mempunyai ‘track record’ yang baik sejak tahun 2004 dan Tengku Adnan sentiasa memberikan perkhidmatan yang konsisten.

“Jadi, saya memohon kepada para pengundi khususnya di Putrajaya, kekalkanlah UMNO/BN pada PRU ke-15 kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.