Pelancaran Jentera Semarakkan Semangat Juang Rampas Kembali Parlimen Papar

PAPAR, 19 Okt – Pelancaran jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menyerakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti dalam misi untuk merampas kembali Parlimen Papar setelah jatuh kepada pihak lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Ketuanya, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa menjelang PRU15, semangat anggota jentera adalah sepakat untuk menggempur pengundi bagi memilih kembali BN pada hari pengundian nanti.

“Kali ini kita ada misi yang sangat besar iaitu untuk mengembalikan Parlimen Papar dalam pentadbiran BN dan menyumbang kepada kemenangan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

“Walaupun tarikh PRU masih belum diketahui namun gendang sudah dipalu apabila pembubaran Parlimen telah dilakukan oleh Perdana Menteri yang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, pelancaran jentera membabitkan perwakilan seramai 1,300 orang dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat akan menguatkan gerak kerja turun padang untuk melaksanakan usaha menjejaki pengundi.

“Jentera akar umbi ini adalah penguat atau barisan hadapan yang amat penting kepada parti untuk berdepan PRU yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis ini.

“Ini adalah usaha kita dalam hasrat untuk merampas kembali Parlimen Papar yang sebelum ini jatuh kepada pihak lawan namun pemimpin yang ada itu tidak melaksanakan amanah dengan baik berbanding BN yang sebelum ini banyak melakukan pembangunan,” katanya lagi.

Dalam PRU14, Parlimen Papar jatuh ke Pakatan Harapan –Warisan yang diwakili Ahmad Hasan dengan majoriti 325 undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.