Komitmen Kepimpinan UMNO/BN Demi Rakyat, Pelaburan RM1 Bilion Untuk Bandar Pertahanan Lipis

LIPIS, 19 Oktober – Bandar Lipis bakal menerima pelaburan daripada syarikat tempatan berjumlah RM1 bilion menerusi pembinaan Bandar Pertahanan Lipis.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar yang juga penyandang Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi pelaburan syarikat tempatan tersebut bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk penduduk di Lipis dan kawasan sekitar.

“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy telah bersetuju untuk pelaksanaan pembangunan Bandar Pertahanan ini menerusi Perjanjian Pajakan Tanah Projek Kilang Peluru antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Ketech Asia Sdn Bhd (Fasa 1) di Kechau Tui yang melibatkan keseluruhan kawasan seluas 40.5 hektar,” katanya.

Abdul Rahman yang Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata Projek Kilang Peluru ini merupakan komitmen kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu serta menjadikan sektor pertahanan sebagai salah satu sumber baru pendapatan negara tanpa kebergantungan kepada negara luar.

Beliau berkata projek mega ini akan memberi manfaat kepada aspek sosial dan ekonomi Parlimen Lipis yang sudah tentunya akan wujudkan peluang pekerjaan yang besar kepada penduduk tempatan selain membangunkan prasarana lain di daerah ini.

“Kilang ini memerlukan tenaga kerja lebih 1,000 orang (apabila siap sepenuhnya), sekaligus akan meningkatkan tenaga mahir dan kepakaran dalam kalangan anak tempatan Lipis.”

Selain itu katanya, kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan wujudnya premis-premis perniagaan dan projek perumahan baharu serta memberi hasil kepada pendapatan negeri.

“Insya-Allah, Projek Fasa 2 pula akan bermula selepas saya mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan kilang peluru di kawasan Lipis.

“Ini adalah salah satu usaha dan tekad bagi merancakkan pembangunan dalam Parlimen Lipis dan usaha ini akan saya teruskan dengan membawa lebih banyak pelaburan dalam pelbagai industri,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.