Jangan Pedulikan ‘Pak Lebai’, Fokus Kerja Rampas Kedah – Ahmad Zahid

BANDAR BAHARU, 19 Okt – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap jentera parti khususnya di negeri ini untuk terus fokus kepada gerak kerja merampas kembali Kedah pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga berpesan untuk mengabaikan parti lain yang bersikap acuh tidak acuh demi memuaskan kepentingan mereka sendiri.

“Saya yakin di Kedah ini kalau ada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti pastikan kita akan ambil alih semula kerusi-kerusi yang pernah kita kecundang untuk rampas kembali kerajaan negeri.

“Jangan pedulikan pak lebai bersama dengan kita atau tidak, harus pergi atas nama komponen BN untuk perintah negara dan negeri ini.

“Pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain… esok cakap lain dirinya sahaja tak salah dia kata kita ini durian mentah belum masak sangat, ingat pak lebai durian mentah ini jangan cuba dijolok.

“Nak cakap siang pandang-pandang, nak cakap malam dengar-dengar bila ada situasi politik baru keluar fatwa baharu, bila nak salah orang lain keluar fatwa baharu, ayat Al-Quran dan hadis tetap sama tafsir sahaja lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera BN peringkat Negeri Kedah dengan tema ‘Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran’ yang berlangsung hari ini di Dataran Seri Serdang. Turut hadir Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Barisan BN Negeri Kedah, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom dan kepimpinan lain.

Ahmad Zahid pada masa sama turut berkata Kedah memerlukan sebuah kerajaan negeri yang kompeten dalam melaksanakan kerja-kerja tadbir urus.

“Kita tahu apa yang jadi di Baling, Kulim Hi-Tech, Langkawi, Alor Star, mereka merasakan bahawa apa yang berlaku adalah kerana kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kalau setakat buka baju untuk tunjuk bulu dada yang satu dua helai kepada rakyat ini bukan tempat untuk lawak jenaka… negeri Kedah negeri serius yang harus dibangunkan semula dari pemimpin BN,” ujar beliau.

Sementara itu menerusi sidang media yang diadakan selepas program tersebut, beliau turut memaklumkan telah mengenalpasti beberapa kawasan Parlimen di negeri ini bagi menyumbang kerusi di peringkat Persekutuan.

“Kita telah mengenalpasti 11 kerusi Parlimen juga akan diwujudkan special task force untuk 10 kawasan… PRU14 telah memenangi dua kawasan Parlimen di Kedah iaitu Padang Terap dan Baling ertinya kita sasarkan lapan lagi dan satu lagi tambahan.

“Kita merasakan bahawa PRU kali ini bukan sahaja merupakan ‘mother of all general election’ tetapi bangun jatuhnya BN khususnya UMNO Kedah ini bergantung kepada kerja keras.

“Semua (kawasan) tidak kira nama besar atau kecil yang penting rakyat telah tertekan dan apa yang telah dijanjikan di kawasan itu,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.