UMNO/BN Bawa Pembaharuan, Jangan Terpedaya Propaganda Murahan PH – Alfie
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Alfie Zainal berharap rakyat akan rasional dalam menerima maklumat yang ada terutama melalui media sosial.
Katanya, isu ini mencetuskan kebimbangan kerana membabitkan propaganda dibawa pihak-pihak tertentu dalam menyebarkan manipulasi berkaitan parti antaranya menuduh UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak melakukan pembaharuan.
“Kita kalau hendak nilai, lakukan berlandaskan fakta jadi apabila bercakap tentang pembaharuan ini ada pelbagai propaganda yang mengatakan UMNO ini tidak melakukan pembaharuan tapi kalau kita lihat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melantik pemimpin muda sebagai Ketua Penerangan iaitu antara jawatan yang tertinggi dalam parti.
“Beliau juga meletakkan banyak calon muda di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor itu juga fakta… kalau ada juga yang cakap UMNO tidak melakukan pembaharuan itu tidak betul malah bersifat propaganda murahan pembangkang.
“Presiden mendengar malah kita telah menganalisa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana suara perubahan itu jelas kedengaran seperti di PRN Melaka Johor, parti meletakkan 70 peratus calon baharu, itu merupakan perubahan.
“Baru-baru ini beliau juga berkata akan meletakkan majoriti calon baharu itu merupakan tawaran kita kepada rakyat di mana meletakkan perkara baharu kepada mereka untuk cuba dan nilai supaya barisan baharu ini akan bersama dengan pemimpin berpengalaman yang pernah mentadbir kerajaan, saya yakin kita akan lakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas: Serangan Fitnah Mampukah Tembusi Pengundi Lagi? yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.
Alfie pada masa sama turut memaklumkan parti perlu meletakkan pemimpin muda sebagai ikon untuk menarik sokongan generasi baharu terutama apabila golongan ini bakal menjalankan tanggungjawab mereka mengundi pertama kali pada PRU15 ini.
Menurut beliau mereka semestinya mahukan pemimpin yang memahami keperluan dan kehendak bagi mendepani masa depan yang lebih baik.
“Sifat memberontak mereka itu tinggi, memang sukar mana-mana parti yang memegang kerajaan untuk betul-betul tawan orang muda tapi kita kena cuba untuk memberikan tawaran kena dengan jiwa, letakkan tokoh-tokoh UMNO muda ke hadapan dan menjadi satu ikon untuk mereka saya fikir insya-Allah orang muda akan sokong.
“Orang muda hendak orang muda, nak tengok yang sama jiwa dengan mereka. Macam contohlah di peringkat bahagian saya kadang-kadang bila mesyuarat dengan jawatankuasa saya tanya ada tak main PUBG, tengok BTS, benda-benda yang orang muda suka.
“Jadikita kena fikir cara bagaimana untuk kenalpasti cara mendekati mereka, tahu minat orang muda dekati dengan kaedah itu,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib