Pentadbiran PH Caca Marba… ‘Atuk’ Sendiri Pun ‘Give Up’ Sampai ‘Resign’ – Tengku Adnan

 

PUTRAJAYA, 18 Okt – Pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang caca marba selama 22 bulan mengakibatkan negara kucar-kacir termasuk daripada segi ekonomi dan kebajikan rakyat.

Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan bahawa beliau pernah diajak untuk meninggalkan UMNO namun tidak sanggup untuk mengkhianati kepercayaan rakyat dan parti.

“Bila mereka (PH) menerajui kerajaan selama 22 bulan, Tun Mahathir diangkat menjadi perdana menteri sedangkan hanya topeng dan boneka sehinggakan beliau meminta saya untuk membantunya serta meninggalkan UMNO. Come here help me, I can’t stand with the cabinet. I can’t take it from Dap and PAN. Mahathir sendiri give up dengan mereka.

“Saya kata, no. Saya tak nak jatuhkan UMNO, tak redha saya. Nak mengkhianati lambang parti, saya tak redha. Bukan kerana dia bagi apa-apa kepada saya tetapi disebabkan datuk nenek moyang saya dahulu dalam pertubuhan ini telah memberikan kesenangan sehingga membentuk kerajaan yang stabil,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya itu turut mengakui bahawa kucar-kacir yang berlaku ketika PH mengambil alih kerajaan berlanjutan sehingga ke hari ini.

“Kita dah rasa 22 bulan yang kelam kabut dan ianya berlarutan sehingga ke hari ini. Terumbang-ambing rakyat dan negara. Selama 17 bulan ditadbir pula oleh Perikatan Nasional (PN) pun sama. Akhirnya tidak sampai 13 bulan, kita dapat juga Perdana Menteri daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Tiba-tiba ada 12 ke 14 menteri menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu ikut Perdana Menteri maka terpaksalah bubar parlimen. Perdana Menteri belum mengadap YDPA lagi pada waktu itu. Namun disebabkan perkara tersebut terjadi, beliau bubarkan juga bagi menutup mulut pihak di sebelah sana,” katanya lagi.

Dalam hal ini, Tengku Adnan mempersoalkan kedudukan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin ekoran turut menganggotai 12 ahli kabinet yang menghantar surat kepada YDPA bagi membantah pembubaran parlimen.

“Patutnya 12 orang sahaja ahli parlimen yang terlibat. Lagi dua orang termasuk Radzi Jidin tu saya tak faham kerana mereka berdua ini senator… undi mereka tidak boleh dikira.

“Radzi Jidin tu Ketereh pun tidak ‘reti’ nak jaga kononnya mahu memberi khidmat kepada Putrajaya. Ke mana dia selama ini? Semasa COVID siapa yang jaga? Cuba tanya orang Ketereh apa yang dia dah sumbangkan.

“Dia bertanding dengan Annuar Musa sampai hilang wang deposit dan saya minta kalau dia bertanding di Putrajaya, kita nak pastikan dia hilang deposit macam Annuar Musa buat di Ketereh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar sidang perwakilan yang hadir menetapkan hati yang betul dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air bagi memastikan UMNO/BN menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya merayu kepada sidang perwakilan supaya menetapkan hati dan meletakkan niat yang betul dalam membantu UMNO/BN bagi memenangi PRU ke-15.

“Kita ada pengundi baharu, jadi saya rayu kepada ibu bapa yang ada di sini untuk menerangkan kepada anak-anak yang bakal mengundi supaya mengundi UMNO/BN bagi membela nasib anak cucu kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.