Pembangkang Sebelum Ini Desak PRU, Bila Bubar Salahkan UMNO/BN – Azmi

BERA, 18 Okt – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Nor Azmi Mat Ludin berpandangan pembangkang bersikap berdolak dalih berkenaan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya ini kerana, sebaik sahaja pembubaran diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelbagai rungutan disuarakan mereka meskipun memahami PRU15 ini perlu dilakukan untuk memberikan mandat kepada rakyat.

“Kadang-kadang kita pun pelik sebelum ini mereka selalu mendesak agar diadakan PRU tapi kalau lihat kebelakangan ini cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan kerajaan BN untuk membubarkan Parlimen.

“Katanya menyerah mandat kepada rakyat satu perkara yang tidak perlu diadakan buat masa ini soal banjir seharusnya memberi perhatian kepada isu rakyat.

“Saya rasa kita sendiri pun sudah lama buat kerja kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa begitu cakna dalam membantu rakyat ini jelas, kalau tanya orang kampung mereka pun tahu apatah lagi kerajaan yang ada pada hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pelbagai transformasi, bantuan diberikan kepada rakyat.

“Contoh di kawasan saya sendiri rakyat merasai, yang menghadapi bencana banjir jelas bahawa kerajaan memberi bantuan yang cukup ianya memberi erti mendalam kepada rakyat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan berkata pembubaran ini peluang terbaik untuk rakyat memilih kerajaan yang stabil bagi memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

Katanya, rakyat perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) yang tidak kompeten dalam melakukan tadbir urus negara sebaiknya seperti dilakukan BN.

“Pastinya kita sudah sedia maklum bahawa keputusan ini (bubar) adalah untuk memberi mandat semula kepada rakyat memilih kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRU15 nanti merupakan kerajaan yang stabil ke arah kestabilan dan kemakmuran negara kita.

“Sebenarnya rakyat telah merasai kerana semua parti telah memerintah negara jadi mempunyai pengalaman yang sudah pasti cukup, selama 22 bulan bagaimana kerajaan PH memerintah begitu tertekan pada seluruh rakyat.

“Kita juga berpeluang hampir dua tahun kerajaan PN memerintah, saya rasa pengalaman itu cukup memberi makna yang besar kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil dalam membentuk kerajaan Malaysia,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, UMNO/BN mempunyai rekod terbaik dalam memimpin negara ini di samping berpengalaman dan pemimpin yang berkredibiliti dalam memastikan kebajikan rakyat dijaga sebaiknya.

“Kita mempunyai trek rekod dengan pengalaman selama 60 tahun, kita telah membuktikan bahawa UMNO/BN kerajaan terbaik kalau hendak dibanding dengan PH dan PN.

“Apabila melihat di lapangan sendiri bahawa rakyat mengakui pengalaman 22 bulan PH itu memeritkan saya rasa sudah pasti kali ini kita mempunyai harapan yang begitu cerah untuk memastikan bahawa BN terus kembali memerintah negara ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.