MUDA Dengan Politik Tidak Matang Berpisah Tiada – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu bertanggungjawab atas tuduhan melulu dan provokasi demi menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Demikian tegas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada penyandang kerusi Parlimen Muar itu dan menggesa Syed Saddiq menghentikan politik tidak matang.

“Saya mendesak beliau untuk meminta maaf kepada orang UMNO dan BN secara terbuka dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Onn Hafiz memberi respon demikian setelah mengamati secara teliti apa yang dikatakan oleh Syed Saddiq dalam sebuah video yang tular semalam.

“Dalam ucapannya di Muar, beliau secara melulu tanpa usul periksa apatah lagi bukti dan saksi, memfitnah UMNO dan BN mencetuskan kekecohan di ceramah tersebut.

“Selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melampau Syed Saddiq yang seolah-olah ingin memberikan imej buruk kepada UMNO dan BN,” ujarnya.

Malahan kata Onn Hafiz lagi, tuduhan yang tidak berasas ini juga dinafikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Muar Mohd Helmy Abd Latif.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar telah membuat satu laporan polis dan tindakan saman terhadap Syed Saddiq dan beberapa kepimpinan MUDA yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Pemuda UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.