Misi Teruskan Pembangunan, Jamal Tekad Kembalikan Parlimen Papar Kepada BN

PAPAR, 18 Okt – Kestabilan dan kemakmuran menjadi agenda penting Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengajak anggota parti dan para pengundi khususnya untuk terus bulatkan tekad bagi memastikan Parlimen Papar kembali kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, dengan mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN di sini maka tentunya pembangunan yang sebelum ini terhenti akan dapat dilaksanakan kembali.

“Ada 39 bulan masa terbuang begitu saja, dengan kita semua terpalit dalam agenda pihak yang mempunyai kepentingan peribadi sedangkan rakyat makan hati.

“Setelah kerajaan bertukar dan mereka berpeluang untuk memerintah malangnya janji-janji mereka pun tidak tertunai dan kini adalah masa terbaik untuk kita kembalikan sokongan kepada BN demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Papar di hadapan 1,300 perwakilan pada Ahad.

Dalam hal ini, Jamal mengingatkan bagaimana janji pembangunan yang tidak dilaksana malah ia sewajarnya menjadi pengajaran terbaik bagi mendepani PRU15.

“Kita amat kecewa kerana bukan hanya Parlimen Papar tetapi Negeri Sabah juga menjadi mundur malah fakta-fakta ekonomi selepas pentadbiran PH dan PN telah meletakkan Sabah terkebelakang. Ini amat berbeza ketika pentadbiran BN apabila Sabah menjadi negeri yang termaju malah menunjukkan pembangunan serta peningkatan yang amat memberangsangkan.

“Ingatlah kembali bagaimana kesalnya kita apabila kerajaan jatuh ke tangan PH selepas PRU14 yang mengakibatkan berputih mata termasuklah jambatan Papar yang kita idamkan tidak siap.

“Jambatan Papar adalah antara janji daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri iaitu satu-satunya masalah yang melingkari rakyat hingga hari ini maka kerana itu, kita perlukan kepimpinan BN menjadi teraju kita untuk pembangunan,” katanya.

Justeru katanya, persidangan UMNO Bahagian ini adalah platform terbaik bagi memastikan kita sentiasa ingat malah mengaktifkan keseluruhan gerak kerja bagi mengembalikan agenda utama untuk kemenangan BN dalam PRU15.

“Kita ini adalah jentera parti yang perlu sentiasa ingatkan rakyat bahawa mereka janji tak ditepati sebaliknya BN adalah yang terbaik bagi masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.