Janji BN Tawarkan Kestabilan Dan Kemakmuran Negara – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 18 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tujuan mewujudkan solidariti adalah untuk kesungguhan dalam menzahirkan kestabilan dengan tujuan demi kemakmuran negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO menekankan bahawa kemakmuran harus dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan kaum, tanpa mengira budaya, agama dan bahasa.

“Saya buta warna, BN juga buta warna dalam memberikan kemakmuran pada rakyat dan inilah janji BN apabila diberikan mandat semula mentadbir negara.

“… dan kita harap pilihan raya kali ini di negeri Perak dan negeri-negeri lain menyokong BN malah jentera dan pemimpin-pemimpim di semua peringkat dan seluruh negara sedia bekerja. Ketahuilah tidak ada orang PM, tidak ada orang Presiden kerana yang ada hanyalah orang UMNO/BN.

“Jika terdengar atau tercucuk atau tergeli atau termelatah dengan isi-isu yang diwujudkan kepada Presiden UMNO dan Perdana Menteri atau salah seorang dari kami berdua maka saya ingatkan buatlah kerja lain bagi mewujudkan kemenangan BN secara dominan di negeri Perak dan juga seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ‘Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran’ di Dewan Perdana Kompleks Bagan Datuk, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Han Soon; Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah dan Ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negeri Perak.

Kata Ahmad Zahid lagi jangan berhenti bekerja bagi memastikan kemenangan BN.

“Tugas dan tanggungjawab kita di BN Perak dari semua peringkat dan golongan pastikan mendapat kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi BN membentuk kerajaan yang lebih kuat berbanding dengan PRU ke-14 agar BN dapat memberikan kesejahteraan dan kemakmuran bagi rakyat negeri ini,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.