Beri Kepercayaan Kepada BN, Usaha Wujud Semula Peluang Pekerjaan Dimansuh PH

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat memberi kepercayaan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mewujudkan semula peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Katanya, ini kerana selepas PRU14 kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bertindak menamatkan kontrak kakitangan awam melibatkan jumlah yang besar.

“Seramai 55,000 kakitangan kontrak sektor awam ditamatkan perkhidmatan selepas PH menang PRU14, angka ini berdasarkan laporan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Meliputi kakitangan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Seranta Felda, JASA, Biro Tata Negara (BTN) dan banyak lagi segmen pekerjaan dimansuhkan.

“Insya-Allah BN kembali kerajaan dominan, kita usaha wujudkan semula banyak peluang pekerjaan buat rakyat, yakini kerajaan BN tahu bagaimana untuk melakukannya kerana kita pernah pun melakukannya.

“Bukan sahaja sektor awam, malah sektor swasta. Melalui pemerkasaan industri, merancakkan lagi pelaburan asing dan segalanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau juga pada masa sama turut berkongsi alasan yang diberikan oleh PH ekoran tindakan yang dilakukan oleh mereka itu.

“Ini alasan PH pada 3 September 2018 selepas tamatkan khidmat kakitangan kontrak kerajaan:

‘Pekerja kontrak kerajaan atau apa yang digelar pekerja khidmat singkat harus menerima kenyataan’

‘Kita (kerajaan PH) juga ada kekangan yang perlu ambil kira’

“Ini pula alasan Perdana Menteri kerajaan PH semasa membubarkan lima agensi dan jawatankuasa kerajaan.

‘Kebanyakan institusi ini bukan sebahagian daripada kerajaan yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan

‘Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya fikir kita pun ada kepintaran’

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi sedangkan PH sebelum itu menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat termasuk mewujudkan peluang pekerjaan.

“Sebelum PRU14, PH janji satu juta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 jadi rakyat usah kena tipu lagi dengan propaganda PH mengenai peluang pekerjaan menjelang PRU-15.

“Kerajaan PH sebuah ‘kerajaan kekangan’. Kerajaan PH sebuah ‘kerajaan apa pun tak boleh’.

“BN ketika jadi kerajaan berusaha wujudkan peluang pekerjaan, PH jadi kerajaan cipta alasan memansuhkan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.