Ahmad Zahid Tegaskan UMNO Tetap UMNO, Tolak Dakwaan Tun M

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO tetap UMNO dan menolak dakwaan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa UMNO bukan Lagi UMNO.

Tegasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), muslihat Tun M adalah mahu menghapuskan pesaing PPBM.

“Khuatir UMNO akan bangkit semula dan membalas dendam. Bukan kerana seperti Tun dakwa UMNO menyokong wang ringgit.

“Mereka yang menyokong wang adalah ‘katak-katak politik’. Melompat selepas berasakan UMNO tidak mampu beri wang. Saya tidak pernah berniat menghina Tun dalam kenyataan saya, tetapi saya harus bertegas bagi memperlihatkan kebenaran,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya.

Ujarnya, beliau tidak pasti apakah yang telah terjadi kepada Tun Mahathir berikutan pelbagai kenyataan yang mengelirukan antaranya:

9 November 2018 – Tun M akui suruh Zahid bubar UMNO
30 Jun 2022 – Mana bukti saya suruh bubar UMNO?
16 Oktober 2022 – Ya saya suruh Zahid bubar UMNO.

“Sendiri mengaku kemudian menafikan dan kini mengaku semula. Saya namun mendoakan Tun sentiasa diberi kesihatan yang baik. Semoga Allah SWT membuka hatinya berpaling pada kebenaran.

“Rasanya tidak perlu saya mengulas panjang lebar hal ini lagi. Apakah penganiayaan terpaksa ditempuhi kerana enggan tunduk. Sehingga diheret dengan pendakwaan politik yang diada-adakan.

“Syukur alhamdulillah kebenaran terlihat pada 23 September 2022. Hakikatnya sudah banyak kali saya menjelaskannya sebelum ini. Malah ini juga yang saya maksudkan di Perhimpunan MIC. Malangnya ‘di-spin’, dimanipulasi dan diputar belit oleh lawan.”

Namun katanya, seperkara perlu diperjelaskan tentang pengakuan Tun M.

“Tidak benar dakwaan Tun Mahathir iaitu UMNO bukan lagi UMNO. UMNO tetap UMNO dengan tujuan agama, bangsa dan tanah air. Bagaimanapun UMNO selepas 2003 bukan lagi UMNO milik Tun. UMNO selepas tahun 2003 UMNO yang merupakan milik rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.