Rakyat Lebih Bijak Menilai Parti Mana Mampu Tadbir Negara – Mohd Ridwan

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Meskipun pihak lawan khususnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri gagal, rakyat sudah semestinya dapat menilai parti mana yang terbukti berkesan dalam menjalankan urus tadbir negara.

Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali berkata, kedua-dua tokoh ini selalu berdampingan dengan kumpulan-kumpulan gabungan politik yang lain dan mengambil kesempatan sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik yang berlaku sehingga ke hari ini.

“Untuk kedua-dua pemimpin ini (Tun Mahathir dan Muhyiddin) yang mengatakan bahawa Perdana Menteri kita gagal dan sebagainya, saya percaya rakyat boleh menilai dengan baik apa yang telah pun berlaku, bagaimana kedua-dua pemimpin ini memimpin negara dan apakah kekuatan masing-masing. Apa yang saya boleh lihat adalah kedua-dua mereka ini yang tidak ada kekuatan team mereka sendiri.

“Mereka ini selalunya berdampingan dengan kumpulan-kumpulan yang besar dan mengambil kesempatan terhadap mereka yang memberikan sokongan. Inilah punca ketidakstabilan negara yang berlaku pada hari ini.

“Jadi saya percaya rakyat dah bosan dan muak dengan semua drama politik ini dan mereka perlukan satu kerajaan yang betul-betul stabil yang tidak ada hanky-panky. Jadi, saya percaya UMNO/Barisan Nasional (BN) akan menjadi pilihan rakyat untuk kita membawa negara ini ke tahap yang lebih baik lagi daripada hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ramai pelabur berani untuk melabur di negeri tersebut selepas yakin dengan kestabilan yang dibawa oleh UMNO/BN.

“Kita sememangnya tahu track record UMNO/BN memang dari segi ekonomi ini memang telah terbukti. Apabila kita berjaya membina kestabilan di Melaka, alhamdulilah pelabur berani untuk hadir dan dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO/BN, kita berjaya menarik begitu banyak pelaburan dan hasilnya dapat dinikmati oleh penduduk dan masyarakat.

“Sebab itu saya menyeru kepada semua rakyat di luar sana, kalau dapat kita bersama-sama beri peluang kepada UMNO/BN untuk mentadbir negara ini, saya percaya apa jua kesinambungan kepimpinan dan juga keutuhan ekonomi yang pernah kita kecapi bersama sebelum 2018 dapat kita kembalikan untuk anak cucu kita dan generasi yang akan datang,” katanya lagi.

Direkodkan, kedudukan pelaburan asing (FDI) negeri Melaka naik empat anak tangga dari tangga ke-9 ke tangga yang ke-5 manakala negeri Johor naik lima anak tangga daripada tangga ke-6 ke tangga yang pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ini sekaligus membuktikan bahawa kestabilan adalah satu penawar yang sangat diperlukan negara pada ketika ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.