Penerokaan REE: Pemuda UMNO Pelik, Menteri Besar Kedah Membisu

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mendesak agar Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil menjelaskan beberapa perkara berkaitan kegiatan pelombongan unsur nadir bumi (REE) seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, beliau menimbulkan beberapa persoalan antara lain berapakah nilaian REE yang telah dicuri serta apakah tindakan selanjutnya daripada kerajaan negeri berkaitan isu berkenaan.

“Sikap MB Kedah dalam mengendalikan REE ini sesuatu yang pelik kerana dalam isu lain, contohnya bola sepak beliau tangkas mengkritik pasukan lain. Tapi dalam isu ini beliau menjadi bisu. Jadi Pemuda UMNO Kedah mendesak MB Kedah tampil menjelaskan perkara berikut antaranya berapakah nilaian REE yang telah dicuri?

“Kedua kenapa Kerajaan Negeri tiada tindakan sebelum ini walaupun ia sudah lama berlaku? Jangan setakat kata kami tidak tahu kerana ia berlaku di kawasan MB sendiri dan beliau sudah pasti mendapat maklumat dari penduduk dan laporan agensi. Seterusnya apakah tindakan kerajaan seterusnya. Menutup kawasan berkenaan? Menamatkan lesen penerokaan syarikat diluluskan,” katanya.

Kata beliau lagi pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kegiatan pelombongan unsur nadir bumi (REE) seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini, bagi meminta siasatan menyeluruh diadakan sama ada wujud salah guna kuasa mahupun rasuah mana-mana pihak dalam kegiatan berkenaan.

Tambahnya laporan polis berkenaan dibuat oleh Pemuda UMNO Alor Setar mewakili pemuda UMNO Kedah di Ibu Pejabat Polis Kota Setar pada 10 Oct 2022 dan Pemuda UMNO Kedah berharap laporan polis itu dapat memberi pencerahan terhadap apa yang sebenarnya berlaku sehingga kawasan hutan sebegitu luas diterokai tanpa sebarang tindakan kerajaan.

“Pada masa yang sama Pemuda UMNO Kedah melihat sikap Menteri Besar Kedah yang setakat menafikan penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik bagi meneroka REE juga sangat merimaskan kerana kelihatan MB Kedah tidak memandang serius perkara berkenaan.

“Seolah juga beliau tidak kisah mengambil peduli walaupun pelbagai pihak sudah tampil mendesak beliau menjelaskan beberapa isu. Kini selepas dua minggu ia dilaporkan akhbar, MB Kedah masih membisu tentang tindakan terhadap ‘penerokaan haram’ itu yang berlaku di kawasan beliau sendiri,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.