Siasah UMNO Berakar Umbi… Jangan Lupa Hinaan PH Untuk Penjawat Awam

 

PUTRAJAYA, 16 Okt – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan para perwakilan untuk menterjemahkan semangat yang ditonjolkan hari ini di peringkat cawangan masing-masing lantas tekad menangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ini kerana katanya, beliau melihat pelbagai semangat yang ditonjolkan ini menunjukkan bahawa pertubuhan siasah UMNO itu sendiri tetap mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

“Hari ini saya melihat pelbagai semangat ada di dalam dewan. Ini menunjukkan bahawa pertubuhan siasah UMNO itu sendiri masih mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

“Saya berharap bahawa semangat ini akan diterjemahkan bukan hanya di dalam dewan ini sahaja, bahkan di peringkat akar umbi,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya.

Mengimbau kembali zaman pemerintahan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut mengingatkan supaya penjawat awam tidak tersalah pilih lagi pada PRU ke-15 nanti.

“Semasa kerajaan PH memerintah, hampir dua pertiga penjawat awam dibuang kerja. Saya sudah berpesan kepada mereka, jangan tersalah pilih.

“Mereka (PH) dapat buang 70,000 penjawat awam. Semua institusi yang kita bangunkan seperti KEMAS dicantas dan yang paling membuatkan mereka marah ialah apabila kita memberikan rumah kepada penjawat awam ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan dakwaan pemimpin Dap, Tony Pua yang mengklasifikasikan penjawat awam sebagai ‘biawak hidup’.

“Tony Pua cakap, penjawat awam ini ‘biawak hidup’ sebab itu habis dibuangnya rakyat yang berkhidmat untuk kerajaan ini. Inilah sikap sebenar mereka.

“Balik rumah nanti, cuba renung mata anak-anak dan fikirkan apa yang akan terjadi sekiranya kita salah pilih lagi,” katanya lagi.

Katanya lagi, UMNO telah memberikan keselesaan dan kestabilan kepada negara serta sentiasa memastikan hidup rakyat terjamin.

“UMNO telah memberi keselesaan dan memberi kestabilan kepada negara. Kita dah rasa 22 bulan kerajaan yang mencetuskan kelam kabut sehingga hari ini, ditambah pula dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan.

“UMNO/BN sentiasa memastikan bahawa rakyat ada makanan di atas meja. Ada rumah, perlindungan dan kehidupan. Ada pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Percayalah bahawa hanya UMNO/BN yang mampu untuk menjaga kebajikan rakyat serta mengembalikan kestabilan negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online