Pilih Kestabilan Naratif BN, PH Tiada Wawasan Hanya Penghasut

 

PONTIAN, 16 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata Barisan Nasional (BN) sepertimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka yang menawarkan tema kestabilan, begitu juga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, ia berbeza dengan pihak lawan terutama Pakatan Harapan (PH) yang ketandusan idea dan wawasan serta sering memanipulasi isu dan tanpa henti bertindak menghasut rakyat.

“PRU-15 ini ia membawa satu naratif kestabilan dan kemakmuran. Tidak lain daripada usaha, pengalaman yang kita hadapi semasa PRN (bertemakan) ‘kestabilan masa depan’. Kita hendak Johor seperti sebelumnya, begitu juga hendak Johor di masa hadapannya. Kejayaan kita di Johor sebelumnya UMNO mantap di Dewan Negerinya tiada seorang pun pembangkang. Di dalam kerajaannya menteri besar, exco-exco dan pegawai-pegawai kerajaan bekerja menaikkan Johor menjadi sebuah negeri paling penting dalam negara. Jatuhnya Johor ranaplah satu negara, itu kayu pengukur pihak pembangkang.

“Sebab itu pemimpin-pemimpin besar mereka turun ke Johor kerana mereka tahu perlu tawan negeri ini. Mereka perlu kalahkan kita di Pontian ini, perlu pastikan kawasan-kawasan dianggap majoriti Melayu itu harus dihasut supaya makan hasutan kerana hendak menang di Johor ini kemenangan menghasut.

“Itu sahaja cara. PRU-14 kita kalah oleh kerana fitnah, ramai pengundi dihasut supaya fitnah itu seolah-olah satu kebenaran. Pembohongan yang dicakap berulang-ulang kali boleh menjadi kebenaran akhirnya. Ini perkara yang berlaku pada PRU-14. Jadi dalam PRU-15 ini apa yang kita lihat pemimpin-pemimpin besar mereka datang ke Johor cara mereka sama,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini, Sabtu.

Dalam majlis berkenaan, Hasni yang juga Ketua UMNO bahagian turut menyempurnakan simbolik pelancaran jentera pilihan raya dengan penyerahan watikah pelantikan kepada pengerusi portfolio peringkat Parlimen dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Seterusnya tambah bekas Menteri Besar Johor itu lagi, pemimpin pembangkang berterusan memburuk-burukkan pemimpin UMNO dan BN di dalam kempen-kempen dan ia menunjukkan mereka langsung tiada idea di dalam membangunkan negara.

“Jelas mereka tidak punya wawasan, tidak punya idea bagaimana cara hendak membangunkan negeri dan negara ini. Sebab itu mereka terus bercakap perkara yang bersifat peribadi,” bidasnya.

Terdahulu, mengulas mengenai persidangan tahunan bahagian itu, Hasni berkata ia juga merupakan satu platform yang penting di dalam menggerakkan jentera bagi menghadapi PRU.

“Kita telahpun menetapkan beberapa pendekatan, antaranya melancarkan jentera pilihan raya bagi P.164 Parlimen Pontian. Kita telah lantik pengerusi-pengerusi portfolio. Mereka tidak boleh bersendirian jika tidak ada kerjasama daripada pengerusi-pengerusi PDM, ketua-ketua cawangan. Ini semua prasyarat penting.

“Apa yang perlu saya tekankan bagaimana cara kita hendak menang pilihan raya. Kerana itulah perjuangan kita selama ini. Sejauh mana kita hendak menangkan BN bagi Pontian ini. 833 majoriti yang diperolehi di dalam PRU-14 dengan tsunami, pelbagai isu dihadapi masih dapat dipertahankan. Tentunya kali ini kita bertekad sekurang-kurangnya kita pernah mencapai berbelas ribu majoriti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.