PH Kaki Fitnah… Orang Sudah Tiada Turut Kena Tempias – Shahanim

 

SUNGAI PETANI, 16 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff melahirkan rasa tidak puas hati dan membidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perbuatan fitnah terhadap Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang mengatakan bahawa RM2 bilion peninggalan almarhum merupakan hasil daripada rasuah.

Jelasnya, tindakan tersebut merupakan satu perbuatan jahat yang dilakukan bagi memburukkan nama UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Saya nak sentuh tentang Anwar Ibrahim. Saya sangat tidak berpuas hati serta kecewa kerana beliau mengatakan ada pemimpin UMNO yang ada RM2 bilion disebabkan rasuah. Orang yang dimaksudkan tersebut sudah tiada lagi, jadi dia tidak boleh bangun untuk menjawab kepada Anwar.

“Betapa mudahnya nak memfitnah. Mungkin almarhum sudah kaya sejak azali. Tetapi kali ini, orang yang sudah meninggal dunia pula yang difitnah.

“Adalah satu perkara yang tidak adil dan salah satu dosa yang besar kerana dia memfitnah almarhum dengan mengatakan arwah tersebut korup sehingga mempunyai RM2 bilion,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Petani, semalam.

Mengulas lanjut, Shahanim turut berhasrat untuk merampas kembali Parlimen Sungai Petani setelah kawasan tersebut berada di bawah PKR selama 15 tahun tanpa sebarang pembangunan.

“Saya mempunyai satu harapan yang tinggi untuk merampas semula kerana Yang Berhormat (YB) PKR berada disini sudah 15 tahun, tetapi dia tidak membawa satu apa pun perubahan kepada Sungai Petani.

“Jadi mereka mahu menutup kelemahan mereka ini dengan menggunakan isu UMNO/BN rasuah, korup, sakau, penyamun dan perompak,” katanya lagi.

Menurut Shahanim lagi, perkara fitnah pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) ini sudah dimainkan selama 15 tahun sehingga menyebabkan ianya sebati dalam pemikiran anak muda.

“Ini yang dimainkan selama 15 tahun sampai anak muda dah sebati dengan fitnah tersebut. Sampaikan apa yang UMNO/BN buat, kerja ikhlas macam mana pun tetap dikatakan parti ini rasuah. Ini satu benda yang tidak adil.

“Perkara ini dibawa dari peringkat pusat sehingga ke peringkat Parlimen sebagai contoh di Sungai Petani. Kami di Sungai Petani ini buat kerja sehabis baik tetapi masih terkena tempiasnya.

“Inilah peranan kami untuk memberitahu kepada semua anak muda supaya jangan mudah tertipu dengan helah mereka ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.