Perkukuhkan Jentera, Fokus Untuk Berdepan PRU-15

SEREMBAN, 16 Okt – Mesyuarat UMNO bahagian dan persidangan peringkat Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO yang berlangsung pada minggu lepas dan minggu ini adalah platform terbaik untuk masing-masing memperkukuh jentera dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu penting supaya jentera yang telah sekian lama bergerak dapat diperkemaskan sebaiknya.

Malah menurut beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Rembau, semua perwakilan akan dapat membuat penilaian serta membuat pemfokusan kepada aspek-aspek tertentu diperingkat kawasan masing-masing.

“Mesyuarat Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO pada minggu lepas dan mesyuarat bahagian pada minggu ini juga adalah platform yang terbaik untuk bahagian-bahagian memberikan kata-kata semangat kepada seluruh jentera masing-masing seterusnya dapat lancarkan jentera… dan tidak perlu buat dua tiga kali untuk kita hadapi PRU nanti.

“Ada negeri-negeri yang tidak membubarkan negeri masing-masing… PH telah buat keputusan untuk tidak bubarkan DUN dan di Negeri Sembilan ini pun peringkat parlimen sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Rembau, di sini hari ini.

Tambah Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), ini merupakan satu cara yang cukup baik untuk UMNO/BN menggerakkan jentera dan semangat kepada anak buah masing-masing.

“Saya sendiri tadi turut berpesan supaya diperkemaskan dan digerakkan semua jentera. Jentera dah bergerak lama tetapi perkemaskan lagi. Ada beberapa perkara yang perlu diberikan pemfokusan iaitu PDM-PDM perlu diberikan tumpuan gerak kerja, kajian sikap yang mesti dibilas semula dan sebagainya.

“Sikap pengundi ini berubah-berubah mengikut keadaan dan isu-isu yang mendatang. Kita mahu menang… supaya kita dapat tubuhkan kerajaan dan itu sasaran kita.

“Kawasan yang kita kalah tipis perlu diberikan tumpuan dan sebagainya… ini perlu diselesaikan segera supaya tidak berlaku sepertimana PRU14 yang lalu,” ujarnya.

Mohamad seterusnya berkata keutamaan parti hari ini sudah semestinya adalah untuk mencapai kemenangan sekaligus membentuk kerajaan.

“Keutamaan adalah untuk menang dan calon-calon yang dipilih nanti adalah yang boleh memenangkan parti. Jadi banyak kriteria serta sudut-sudut yang kita pandang agar pemilihan calon nanti dapat memberikan kekuatan kepada parti pada pilihan raya umum nanti,” tambahnya.

Pada ucapan penangguhan, Mohamad turut melancarkan jentera pilihan raya umum Parlimen Rembau.UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.