Peluang Telah Beri Tapi Tidak Kompeten, Rakyat Perlu Tolak PH Dan PN – Ahmad Maslan

PONTIAN, 16 Okt – Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak kompeten dan tidak mampu mentadbir negara dengan sebaiknya, sebaliknya banyak menimbulkan ketidakstabilan politik yang merencatkan pertumbuhan serta kemakmuran negara.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan, ia banyak memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini pada ketika itu dan seharusnya PH dan PN perlu ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita telah memberi peluang kepada PH dan PN. Kita memberi peluang 22 bulan kepada PH tetapi banyak perkara yang tidak mereka laksanakan, janji-janji yang hanya palsu dan tidak ditunaikan, manifesto bukan kitab suci dan segala perkara yang tidak sangka berlaku antaranya penjualan besar-besaran aset negara, kesukaran rakyat menghadapi suasana yang tidak stabil.

“Selepas itu kita memberikan peluang kepada PN. Pada ketika itu mereka kata darurat adalah untuk COVID tetapi sebenarnya darurat untuk menegakkan kuasa politik. Rakyat tertipu tentang perkara itu… digantung dewan Parlimen, digantung Dewan Undangan Negeri… kita dikurung dengan kurungan paling lama dalam sejarah negara kita dan di luar sana, walaupun ketika COVID mereka tidak mengaturnya dengan baik,” tegasnya kepada UMNO Online.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas menjalani rutinnya selama ini sebagai ahli Parlimen Pontian dengan pelbagai aktiviti menyantuni rakyat antaranya seperti ziarah kasih.

Tambahnya lagi, usaha daripada beberapa pemimpin PH dan PN untuk berkolaborasi dalam PRU-15 ini atau dalam erti lain menubuhkan ‘khemah besar’ untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dianggap tidak akan berjaya.

“Tinggal beberapa sahaja lagi, saya tidak nampak ‘khemah besar’ mereka ini akan berjaya dan saya melihat di mana-mana akan berlaku tiga penjuru dan kita tiada kekhuatiran untuk berdepan dengan tiga penjuru ini dan disebabkan kita telah menang di Melaka, Johor dengan juga tiga penjuru dan kita tidak bersama dengan Pas.

“Bukan kita hendak mendabik dada… kita hanya menyatakan fakta bahawa rakyat telah bijak memilih dan mereka tetap memilih Barisan Nasional di dua negeri itu yang pada saya ia merupakan sample kepada kejayaan dan seterusnya pada negara,” katanya.

Justeru, Ahmad bersetuju bahawa tema kestabilan yang dipersembahkan BN selama ini kepada rakyat merupakan ramuan terbaik untuk kemakmuran negara ini.

“Kita bawa tajuk kestabilan demi kemakmuran di negeri Melaka, kestabilan masa depan di Johor dan kestabilan dan kemakmuran untuk PRU-15. Saya kira itulah yang berlegar di dalam pemikiran rakyat yang mereka inginkan,” ujarnya.

Ulasnya juga, rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada BN untuk mentadbir negara kerana ia telah pun terbukti selama lebih enam dekad ini.

“Kita perlu menyokong Barisan Nasional kerana Barisan Nasional telah terbukti memberikan kemakmuran kepada rakyat dan negara ini, memberikan kestabilan, keharmonian, keselamatan, keamanan, pendidikan, kesihatan, pembangunan dan pelbagai lagi yang diberikan kepada rakyat dan telah terbukti dalam pemerintahan kita. Undilah Barisan Nasional demi kestabilan dan kemakmuran.

“Kita perlu memilih Barisan Nasional untuk kestabilan dan kemakmuran. Kita perlu politik yang stabil, negara yang stabil, suasana yang stabil untuk rakyat dan negara menambah pendapatan dan memberikan kemakmuran kepada ekonomi. Oleh itu, saya menyeru sokonglah Barisan Nasional dan calon-calon Barisan Nasional,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.