Tiada Manifesto Khusus Tetapi Penambahbaikan Ikhtiar BN Johor Jadi Kad Laporan – Hasni

 

PONTIAN, 15 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata tiada manifesto khusus bagi negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebaliknya ujar Hasni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, BN Johor akan menampilkan Ikhtiar BN Johor semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu yang akan ditambah baik berserta dengan manifesto di peringkat pusat dan dijadikan sebagai kad laporan.

“Dan saya yakin bahawa manifesto yang dibentuk oleh BN di peringkat pusat setelah berunding dengan negeri-negeri, setelah meninjau bajet yang telah dibentangkan dan setelah mendapat maklum balas daripada parti-parti dalam komponen, kita akan dapat membentuk satu manifesto yang lebih holistik.

“…menjurus kepada menangani isu-isu sama ada tentang cabaran yang dihadapi oleh masyarakat hari ini sama ada tentang kadar inflasi yang meningkat, kos sara hidup dan juga kita mengambil maklum tentang ekonomi yang terus lembap lebih-lebih lagi pada tahun hadapan yang berpunca daripada peperangan antara Rusia dengan Ukraine, perbalahan Amerika dengan China, kos harga yang terus meningkat.

“Ini semua akan menjadi cabaran kepada pertumbuhan ekonomi. Dan kita harapkan dengan kepelbagaian sumber pendapatan negara kita, struktur dan infrastruktur ekonomi negara kita, saya percaya kita akan dapat mengharungi cabaran tersebut, lebih-lebih lagi Johor yang berjiran dengan negara Singapura yang kita tahu menjadi penyumbang kepada kos sara hidup lebih-lebih lagi bekalan asas yang kita pantau setiap masa,” katanya kepada media setelah selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Pontian itu, di negeri Johor walaupun jelas dilihat sektor-sektor peruncitan dan perniagaan kembali rancak dan berkembang, tetapi masih ada ramai rakyat yang memerlukan pembelaan dan bantuan.

“Sebab itu Bajet 2023 ini berkehendakkan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh di peringkat nasional kerana untuk bergantung dengan keupayaan negeri Johor sahaja tidak mencukupi.

“Kita perlu satu bajet kerajaan pusat yang membantu lebih ramai lagi golongan yang layak menerima bantuan. Atas dasar itu saya yakin dalam menghadapi PRU-15 ini BN sudah bersedia khususnya negeri Johor untuk menjadikan Johor ini sebagai kubu kuat UMNO dan tiang seri kepada BN,” katanya yang memberi komitmen bahawa untuk memenuhi harapan pucuk pimpinan parti, Johor sekurang-sekurangnya menyumbang 16 kerusi dan 20 kerusi itu tidak mustahil untuk diperolehi.

Berhubung dengan persidangan UMNO Bahagian, Hasni berkata, secara simboliknya UMNO bahagian telah melancarkan jentera pilihan raya serta melantik pengerusi-pengerusi Pusat Daerah Mengundi dan pengerusi portfolio.

“Begitu juga memaklumkan ahli tentang pentingnya memulakan gerak kerja untuk mendekati pengundi-pengundi kerana kita semua tahu bahawa Parlimen telahpun dibubarkan pada 10 Okt lepas,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Badan Perhubungan UMNO negeri telah mengarahkan kesemua bahagian di 26 kawasan Parlimen untuk menggerakkan jentera masing-masing.

“Tidak kira kawasan itu diwakili oleh calon UMNO atau parti komponen tetapi kita ambil maklum bahawa BN Johor akan bergerak secara bersendirian bersama dengan rakan dalam komponen dan untuk itu saya percaya bahawa kesemua 26 kerusi yang ada di Johor ini akan dipertandingkan oleh parti-parti komponen dalam BN.

“Tidak termasuk Friends of BN kerana sewaktu libat urus yang pertama kita melihat senario di semua kawasan Parlimen dan saya selaku pengerusi perhubungan telah menyatakan hasrat tentang UMNO untuk bertanding di 17 kawasan, 16 campur satu maksudnya Simpang Renggam yang dulunya kerusi dimiliki Gerakan.

“Sementara MCA pada PRU-14 bertanding di lapan kerusi dan saya jangka pada PRU-15 ini juga MCA bertamding di lapan kerusi tersebut. MIC ada satu kerusi sahaja di Johor. BN negeri akan memberi peluang MIC untuk bertanding pada pilihan raya kali ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.