Rakyat Penentu Jatuh Bangun UMNO/BN – Ghazali

 

PADANG TERAP, 15 Okt – Perhimpunan keluarga UMNO/Barisan Nasional (BN) pada hari ini akan menentukan nasib masa depan parti itu di kawasan ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata, jatuh bangun parti itu bergantung kepada perwakilan yang hadir serta masyarakat di kawasan itu sendiri.

“Perhimpunan keluarga UMNO/BN pada hari ini akan menentukan nasib masa depan parti ini di Padang Terap pada PRU ke-15.

“Jatuh bangun UMNO/BN, bergantung kepada kita hati ini. Jentera kita inilah yang akan menentukan menang atau kalahnya kita pada PRU ke-15 akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, hari ini.

Mengimbau kembali peristiwa kekalahan UMNO/BN di kawasan tersebut, beliau optimis untuk mengekalkan kerusi Parlimen Padang Terap serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan Kuala Nerang.

“Kalau kita mengimbau kembali pada tahun 1969, ketika itu UMNO/BN kalah di ketiga-tiga kerusi di Padang Terap. Selepas kita bangkitkan kembali semangat para jentera kita, akhirnya kita menang kembali pada tahun 2004.

“Hari ini kita menang di Parlimen namun kalah di DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang. Kita akan kekalkan kemenangan di Parlimen, rampas kembali DUN Pedu dan Kuala Nerang untuk menentukan kemenangan seia sekata pada PRU ke-15,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jentera UMNO/BN akan bersedia pada bila-bila masa sahaja meskipun pada saat ini kerajaan Negeri Kedah belum memuktamadkan pembubaran DUN.

“Meskipun DUN di Kedah belum dibubarkan sebab Pas tidak mahu bubar, kita tetap bersedia pada bila-bila masa sahaja.

“Mula sahaja peperangan, kita akan pastikan kita ‘henyak’ mereka cukup-cukup, kita tawan kembali Negeri Kedah ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ghazali mengharapkan sayap Putera, Puteri dan juga Wanita UMNO Bahagian tersebut akan meneruskan kerjasama bagi memperoleh kemenangan pada PRU ke-15.

“Semoga air sungai yang jernih akan terus jernih sampai ke kualanya. Kepada Pemuda UMNO yang merupakan pemimpin masa hadapan, jangan patah semangat. Membujur lalu melintang patah, untuk kita pastikan kemenangan di Padang Terap.

“Kepada Wanita dan Puteri UMNO, tenaga anda amat diperlukan bagi memastikan jentera Wanita dan Puteri bergerak seiring dengan Jentera Bahagian Padang Terap.

“Jangan ada dendam sesama kita, jangan tembak kaki sendiri. Pastikan fokus utama kita adalah musuh yang berada di hadapan kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.