Manfaatkan Sepenuhnya Bagi Meniup kembali Roh Perjuangan Menjelang PRU15-Sharkar

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Seluruh bahagian UMNO hari ini mengadakan mesyuarat masing-masing dengan satu tekad bukan sahaja untuk menguatkan lagi parti malah untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Kepimpinan parti pelbagai peringkat mengucapkan selamat bersidang serta mengharapkan ianya dijadikan medan terbaik seluruh ahli parti mengukuhkan satu tekad dan satu muafakat untuk parti melangkah ke depan mendepani segala cabaran.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin turut mengingatkan perkara sama menerusi catatan di Facebook beliau.

“Selamat Bersidang Kepada Semua Perwakilan UMNO Seluruh Malaysia. Semoga persidangan terakhir ini dapat dimanfaatkan oleh semua perwakilan bagi meniup kembali roh perjuangan menjelang PRU15,” katanya.

Kata beliau lagi mesyuarat ini adalah medan serta platform terbaik untuk para perwakilan membawa suara ahli parti di akar umbi untuk diketengahkan termasuklah soal yang melibatkan kepentingan rakyat seluruhnya.

Sebelum ini telah berlangsung mesyuarat Cawangan UMNO yang telah diadakan bermula 15 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 7, 8 dan 9 Okt lalu sementara persidangan peringkat bahagian pula bermula hari ini hingga Ahad.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turutmengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan yang melibatkan 191 bahagian di seluruh negara untuk bermesyuarat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan berpesan agar sematkan tekad, murnikan niat untuk menjadikan persidangan ini medan terbaik mempersiapkan parti menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.