Mandat PRU-15 Mampu Tangani Isu Ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara sebab utama Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15) perlu disegerakan adalah untuk mengembalikan kepada rakyat bagi menentukan mandat baharu bagi parti-parti politik yang mereka fikirkan sesuai untuk memimpin Malaysia.

Selain itu, kata beliau yang juga Presiden UMNO, mandat yang diberikan juga akan menjamin keabsahan atau ‘legitimacy’ kerajaan yang dibentuk, selain dapat memastikan kestabilan yang utuh apabila kerajaan yang dipilih terdiri daripada parti-parti politik yang mempunyai majoriti terbesar di dalam Dewan Rakyat mahupun gabungan-gabungan parti-parti politik yang bersefahaman.

“Keabsahan dan kestabilan secara langsung mampu memberikan fokus untuk menangani isu-isu  ekonomi yang melanda Malaysia ketika ini. Tiada rengek bengek politik, perebutan jawatan timbalan perdana seperti sebelum ini, menuntut jawatan menteri atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Antara beberapa isu ekonomi yang melanda Malaysia sekarang yang akan melarat ke suku kedua 2022 adalah pertama, kadar inflasi negara yang semakin meningkat, terutama sekali inflasi harga makanan.

“Kedua, nilai Ringgit yang semakin merendah yang amat memerlukan intervensi menyeluruh bagi mestabilkannya semula. Ketiga, pengurangan sumber manusia atau pekerja dalam beberapa sektor-sektor ekonomi seperti sektor perladangan dan sektor perkhidmatan, dan keempat ketidaktentuan situasi geopolitik serantau yang dunia yang telah memberi gangguan kepada rantaian ekonomi global,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi, antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah dengan memberi komitmen kepada perubahan struktural yang radikal dan menyeluruh.

“Seperti contoh, perubahan struktural kepada pasaran kerja, keadaan fiskal dan perbelanjaan negara juga perlu direformasikan secara cermat dan tidak teragak-agak melalui disiplin fiskal, memperkenalkan cukai-cukai baharu dan menyalurkan perbelanjaan Kerajaan berteraskan data terkini dan keutamaan.

“Saranan ini adalah sejajar dengan apa yang disyorkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, dan juga telah disambut oleh Kementerian Kewangan. Namun begitu, sebelum semua itu dilaksanakan, keabsahan dan kestabilan Kerajaan yang lebih utuh perlu dicapai.

“Kerana itulah BN selama ini menyeru untuk menyegerakan PRU-15 agar apa-apa pun parti politik yang membentuk Kerajaan pasca PRU-15 kelak akan berupaya mentadbir dengan baik,” ujarnya.

Ujar beliau lagi keabsahan dan kestabilan yang lebih utuh akan menjadikan usaha-usaha pengukuhan ekonomi yang lebih tersusun bagi mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Malah tambahnya kestabilan politik akan membawa kepada kemakmuran negara dan perancangan ekonomi yang lebih menyeluruh selain pelabur luar akan lebih yakin untuk datang sebagaimana selepas PRN Johor, nilai  pelaburan di Johor meningkat Johor lebih 800 peratus berbanding pelaburan tahun lepas.

“Lonjakan positif inilah yang kita mahukan kepada negara. Lebih-lebih lagi tidak ada lagi lompatan politik akan berlaku selepas pilihan raya ke-15 ini. Insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.