Khaled Nordin Serah Kepada Pucuk Pimpinan Tentukan Calon PRU15

PASIR GUDANG, 15 Okt – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu yang tidak menafikan namanya tersenarai antara lima calon untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang berkata proses penentuan calon masih belum selesai.

“Sekarang ini, UMNO Bahagian Pasir Gudang kemukakan nama saya dan beberapa yang lain…jadi saya serahkan pada pucuk pimpinan untuk buat keputusan.

“(Bagaimanapun) parti sedang memproses untuk tentukan calon tetapi ia belum lagi selesai, ia masih lagi dalam permulaan yang secara rasmi ketua perhubungan UMNO telah kemukakan kepada pucuk pimpinan parti nama-nama yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Selain Parlimen Pasir Gudang, media turut melaporkan bekas Menteri Besar Johor itu turut dinamakan antara calon bagi Parlimen Kota Tinggi.

Pada PRU14, Mohamed Khaled yang ketika itu Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, tewas dalam saingan empat penjuru di Parlimen Pasir Gudang setelah dimenangi Hassan Abdul Karim daripada PKR dengan majoriti 24,726 undi.

Beliau yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi juga gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, yang dimenangi Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh daripada PKR dengan majoriti undi 8,746.

Sementara itu, beliau berkata rakyat perlu melihat pelaksanaan PRU15 pada sudut yang positif kerana ia merupakan peluang terbaik untuk Malaysia kembali berada di landasan yang betul. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.