Rakyat Tidak Akan Termakan Janji Kitar Semula – Zurihan Yusop

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Meskipun Pakatan Harapan (PH) cuba mengumpan rakyat dengan segala janji yang dikitar semula, rakyat sudah semestinya akan lebih berwaspada dengan mengambil langkah untuk tidak mempercayai mereka lagi.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Zurihan Yusop berkata, PH telah melalui dua kali pembentangan bajet ketika memerintah dan ternyata mereka tidak mampu untuk menunaikan segala janji bulan bintang yang dicipta.

“Saya rasa janji-janji lama yang datang daripada PH dahulu dengan segala janji sehingga rakyat ‘dikencing’ dan ditipu. Saya rasa dengan janji-janji baharu mereka ini, tidak mungkin rakyat mempercayainya lagi.

“Tempoh kerajaan mereka ini sebenarnya cukup lama untuk mengotakan janji. Dua bajet telah dibentangkan dan sepatutnya segala janji mereka sudah dapat dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Adakah mereka boleh berjanji lagi untuk rakyat percaya dengan perkara yang sama?” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, beliau percaya bahawa janji-janji yang PH cuba taburkan akan ditolak oleh rakyat dan turut merayu kepada para pengundi untuk memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) demi kestabilan masa hadapan.

“Saya yakin janji-janji mereka ini akan ditolak atau tidak dipercayai oleh rakyat lagi. Saya juga pasti anak muda akan menganggap janji-janji ini sudah semestinya tidak akan terlaksana sekiranya mereka diberi peluang untuk menjadi kerajaan.

“Kepada para pengundi, saya merayu agar anda mengambil tahu tentang proses pilihan raya, hari mengundi dan seterusnya mengambil masa serta ruang untuk keluar mengundi. Ambil peluang sebagai warganegara kerana kita mengamalkan prinsip demokrasi.

“Seterusnya jangan lupa perkara yang paling mustahak, undilah UMNO/BN untuk kestabilan masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.