PRU Jalan Terbaik Hentikan Kecelaruan Demokrasi, Ketidakstabilan Politik – Azleen Ambros

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Noor Azleen Ambros berpandangan seharusnya pembubaran Parlimen ini semua parti harus menerima dengan hati yang terbuka.

Ini kerana katanya, pembubaran Parlimen sebenarnya dapat menghentikan kecelaruan demokrasi akibat ketidakstabilan politik dalam negara.

“Kecelaruan demokrasi yang berlaku menyebabkan ketidakstabilan politik dalam negara. Jalan keluar terbaik untuk menghentikan kecelaruan demokrasi itu dengan mengadakan pilihan raya. Mandat dan kuasa untuk menentukan parti mana yang layak dan berhak menjadi kerajaan.

“Bukan soal siapa yang tamak kuasa kerana tidak ada siapa yang akan beri jaminan bahawa mana-mana parti akan menang apabila mengembalikan kuasa dan mandat pada rakyat untuk menentukan siapa berhak dan siapa yang layak.

“’It is open game’… terpulanglah kepada mana-mana parti menambat hati dan minda rakyat melalui penawaran dan apa jua yang dirasakan perlu bagi memastikan sokongan dan akhirnya menyumbang kemenangan dalam pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya jelas Azleen, pelbagai alasan diberikan oleh pembangkang agar tidak diadakan pilihan raya serta menghasut pemikiran rakyat supaya marah pada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Taktik pembangkang menyatakan banjir sebagai alasan agar tidak diadakan pilihan raya hanyalah semata-mata untuk membangkitkan sentimen kebencian dan kemarahan kepada UMNO/BN.

“Pembangkang kata tidak bersedia… itu satu pembohongan yang paling besar kerana tatkala mengatakan kerajaan sepatutnya fokus tentang banjir dan sebagainya malah mereka (pembangkang) agresif membuat pelbagai aktiviti dan program yang menjurus ke arah persiapan pilihan raya,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia juga menandakan hari pengundian semakin hampir untuk rakyat menentukan siapa yang bakal mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.