Suraya Berjiwa Besar, Umum Letak Jawatan Sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah

SUNGAI PETANI, 13 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantiknya memegang jawatan itu.

“Antara pengalaman berharga saya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan buat rakyat negeri Kedah, melibatkan dua buah Takungan Air Pinggiran Sungai TAPS (ORS 7 dan 9) bagi dibangunkan untuk kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

“Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan-rakan bertungkus lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di daerah Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021,” kata Ketua UMNO Bahagian Pendang itu.

Suraya berkata, beliau telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dan berterima kasih kepada barisan kepimpinan negeri, semua jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat yang telah bekerjasama erat dengannya.

Beliau menyandang kerusi DUN Sungai Tiang di bawah Parlimen Pendang itu selama empat penggal sejak 2004. – Bernama