Pentadbiran PKR-PH Angkuh, Gagal Beri Khidmat Kepada Rakyat… Lindung Krisis Dalaman

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang, Alfie Zainal berpandangan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah PKR-Pakatan Harapan (PH) begitu angkuh kononnya telah memberikan taraf perkhidmatan terbaik kepada rakyat sedangkan mereka melindungi krisis dalamannya yang sedikit sebanyak menganggu pentadbiran.

Katanya, kewujudan beberapa ‘team’ dalam PKR juga memberikan kesan kerana seperti diketahui Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari adalah cebisan daripada kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Azmin Ali yang masih tertinggal dalam parti itu.

“Masalah politik dalaman PKR sedikit sebanyak telah banyak ganggu fokus kerajaan negeri apabila terdapat gerakan untuk menggantikan Menteri Besar Selangor sekarang yang dilihat sebagai penyokong Azmin Ali,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Mengulas lanjut berkenaan prestasi kerajaan negeri, beliau memaklumkan ianya berada pada tahap yang sangat mengecewakan.

Jelas beliau ini kerana masa yang terlalu lama mentadbir telah membuatkan PH rasa terlalu selesa tanpa menawarkan sebarang pembaharuan di negeri Selangor.

Katanya, bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ramai dari mereka telah membuatkan PH begitu angkuh untuk memberikan taraf perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

“Bahkan semak imbang yang sepatutnya ada tidak dapat berfungsi dengan baik. Disebabkan kekuatan itu juga mereka terus menipu rakyat Malaysia dengan berpura-pura sebagai pihak yang pentingkan alam sekitar.

“Mereka telah menjarah Hutan Simpan Lagong untuk mengaut keuntungan demi menutup kegagalan mereka konon menawarkan alternatif ekonomi yang baik untuk rakyat Selangor. Kerosakan alam sekitar di Selangor adalah suatu perkara yang tidak bokeh dimaafkan,” tegas beliau.

Mengambil pengajaran daripada ini, Alfie berharap rakyat Selangor untuk memberi peluang kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan PH di negeri ini termasuk gejala rasuah yang dilakukan mereka.

“BN akan memastikan untuk merevolusikan ekonomi negeri dengan industri moden tanpa bergantung kepada hasil bumi demi untuk menjaga alam sekitar, beri peluang kepada BN untuk membersihkan gejala rasuah yang semakin berleluasa di pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Budaya salah guna kuasa nampaknya semakin meruncing di Selangor dan mungkin akibat budaya ahli-ahli majlis lantikan politik dalam PH. Perubahan kerajaan akan memastikan pembersihan budaya rasuah ini di agensi-agensi kerajaan negeri.

“Apa yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai gejala rasuah di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mungkin berlaku di PBT lain,” luah beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.